Semasa

Kerajaan Yaman kecam Houthi bakar puluhan rumah di Hodeidah

LONDON : Kerajaan Yaman mengutuk keras dan mengecam pembakaran berpuluh-puluh rumah oleh militia Houthi di beberapa kawasan di bandar pelabuhan Hodeidah.

Menteri Penerangan Yaman, Moammar Al-Eryani berkata, kumpulan yang disokong Iran itu membakar lebih 40 rumah di perkampungan Markouda, yang juga menempatkan kem pemindahan Al-Shujaira dan Al-Nakhilah di selatan Hodeidah, yang dikawal oleh golongan Houthi.

“Kemusnahan rumah orang awam oleh militia pengganas Houthi di kampung-kampung di selatan bandar Hodeidah adalah lanjutan daripada jenayahnya memusnahkan beribu-ribu rumah pemimpin negara, syeikh, ahli politik, profesional media dan anggota tentera yang menolak rampasan kuasanya dalam pelbagai gabenor di bawah kawalannya dan memindahkan keluarga mereka secara paksa, secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa,” kata Al-Eryani dalam ciapan akaun twitternya.

Pertubuhan hak asasi manusia yang berpangkalan di Amsterdam, Rights Radar, mengecam pembakaran rumah-rumah itu, yang dianggap bencana kemanusiaan yang menggandakan penderitaan penduduk di kawasan tersebut.

Ia berkata kebakaran memusnahkan 26 rumah di perkampungan Taif, tujuh di Markouda, lima di Al-Shujaira dan empat di Al-Nakhilah, kebanyakannya milik warga pelarian yang telah melarikan diri dari pertempuran sejak konflik bermula pada 2014.

Rights Radar juga berkata sumber tempatan menuduh anggota militia Houthi dengan sengaja membakar rumah.

“Kami menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan misinya untuk menyokong Perjanjian Hodeidah dan organisasi hak asasi manusia dengan jelas dan mengutuk jenayah pengganas yang kejam ini,” kata Al-Eryani.

Beliau juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk berusaha mengklasifikasikan militia Houthi sebagai organisasi pengganas, dan bagi mendakwa pemimpinnya di mahkamah antarabangsa sebagai penjenayah perang.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button