PETALING JAYA : Vaksin Sinovac kini telah mendapat kelulusan bagi penggunaan terhadap golongan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, ia merupakan vaksin Covid-19 yang kedua diluluskan selepas Comirnaty.
Menurutnya, mereka telah memutuskan perkara tersebut dalam persidangan mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-370 yang berlangsung semalam.
KKM ingin memaklumkan mesyuarat PBKD kali ke-370 pd 3 Mac 2022, bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi vaksin CoronaVac (Sinovac) kpd kanak2, 5 hingga 11 tahun. CoronaVac sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat di kalangan kanak2 berumur 12 tahun dan ke atas.
— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) March 3, 2022
“Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin masih diperlukan serta penilaian secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengikut data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.
“Bagi tujuan pencegahan penularan Covid-19 di Malaysia, Kementerian Kesihatan juga sentiasa komited mempertingkat akses rakyat kepada produk vaksin dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan,” katanya.