Zikir merupakan amalan yang paling mulia dan sangat dituntut serta disukai oleh Allah SWT serta Rasulullah SAW. Amalan ini merupakan salah satu jalan untuk mengingati Allah SWT malah, umat Islam seharusnya memperbanyakkan zikir agar sentiasa dekat denganNya.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al- ‘Araf yang bermaksud:
“Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” Surah Al-A’raf: 205
Kalimah tauhid Lailahaillallah ( لا اله الا الله ) yang membawa maksud ‘Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah’ merupakan aqidah yang mampu mengangkat masyarakat Islam kepada suatu darjat tertinggi dan mulia.
Cabaran dan ujian yang ditempuhi oleh umat Islam sebagai kayu ukur tahap keimanan kepada Allah SWT.
Justeru itu, Rasulullah SAW memperingatkan umatnya dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Perbaharuilah iman kamu sekalian. Sahabat bertanya: Bagaimanakah caranya memperbaharui iman kami? Ujar baginda: “Hendaklah kamu memperbanyakkan ucapan La Ilaha illallah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Ucapan La Ilaha illallah sangat dianjurkan oleh Rasulullah SAW sebagai usaha untuk memperbaharui iman. Malah memperbanyakkan ucapan zikir adalah refleksi kepada pemahaman dan renungan tiada Tuhan selain Allah SWT yang layak disembah dalam persoalan ibadah, akhlak, ekonomi, dan sebagainya.
Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Wahai anakku! Aku mewasiatkan kamu dengan ucapan Lailaha illallah, jika kalimah ini diletakkan di dalam satu timbangan langit dan bumi ditempatkan di timbangan yang lain, nescaya kalimah ini akan lebih berat lagi. Walau ia di dalam lingkaran yang kukuh nescaya akan mematahkan lingkaran itu sehingga menghadap kepada Allah swt dan aku mewasiatkan kamu dengan ucapan Subhanallahil ‘azim wabihamdihi, sesungguhnya ia adalah ibadat dari seluruh makhluk dan dengannya rezeki mereka diberikan dan aku melarang kamu dari dua perkara: Syirik dan Khibir(sombong) kerana kedua-dua sifat ini menjauhkan manusia dari Allah swt.” (HR Bazar, Majmauz Zawaid)
Amalan zikir ini sebanyak 100 kali sehari akan dituliskan seratus kebaikan untuknya dan turut dihapuskan 100 dosa. Begitu sayang Allah SWT kepada hamba-Nya sehingga berikan ganjaran yang begitu banyak buat umat Islam. Dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Barangsiapa mengucapkan LAA ILAAHA ILLALLAH WAHDAHU LAA SYARIKA LAH LAHUL MULKU WA LAHUL HAMDU WA HUWA ‘ALA KULLI SYAI’IN QODIR (tidak ada sesembahan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya segala kekuasaan dan bagi-Nya segala pujian, dan Dialah Yang Mahakuasa atas segala sesuatunya) dalam sehari seratus kali, itu sama pahalanya dengan membebaskan sepuluh hamba sahaya dan dituliskan untuknya seratus kebaikan, serta dihapuskan dari dirinya seratus kejelekan (dosa). Dzikir itu juga penjaga dirinya dari gangguan setan pada hari itu sampai petangnya. Dan tidak ada seorang pun yang datang membawa amal yang lebih baik daripada yang ia bawa, kecuali ada orang yang beramal lebih banyak daripada dirinya.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Jadikanlah dengan menyebut kalimah tauhid ini sebagai zikir harian yang menemani hari-hari kita.
Ketahuilah wahai kaum Muslimin bahawa amalan berzikir itu sangat banyak fadilatnya. Antaranya ia boleh menjauhkan diri kita dari bersikap lalai dan lupa kepada Allah SWT, boleh menetapkan hati dan fikiran untuk terus mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Mari kita agungkan nama Allah di hati kita, dengan sentiasa dihidupkan melalui zikir kepadaNya, menyebut nama-Nya, mencintai-Nya sepenuh jiwa. Sehingga akhir hayat kita dengan kalimat Laa Ilaaha Illallah.