Semasa

Sultan Selangor titah JAIS tidak halang Bon Odori diteruskan

SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar tidak menyekat program Festival Bon Odori yang akan diadakan pada 16 Julai ini.

Pengarah JAIS, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan berkata baginda tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan dibuat secara tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.

“Titah Sultan Sharafuddin, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya. Malah baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

“JAIS dititahkan tidak mempunyai sebarang halangan untuk meneruskan festival Bon Odori walaupun program tersebut merupakan aktiviti tradisi masyarakat Jepun yang beragama Buddha,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Sultan Selangor menitahkan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis itu bagi melihat sendiri apa yang berlaku dalam program berkenaan

“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis ini beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mengingatkan umat Islam supaya tidak menyertai sebarang aktiviti yang mempunyai unsur-unsur keagamaan lain terutama Festival Bon Odori.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati festival itu merupakan tradisi masyarakat Jepun beragama Buddha yang mengandungi unsur pemujaan terhadap nenek moyang yang sudah meninggal dunia dan dalam masa sama mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button