Kemarau terburuk melanda Selatan Madagascar, bekalan makanan semakin merosot
Jumlah kanak-kanak hidap malnutrisi meningkat 2 kali ganda
MADAGASCAR : Ribuan keluarga di Selatan Madagascar kini berada di puncak krisis kebuluran susulan kemarau terburuk sepanjang tempoh empat dekad, dengan lebih 1.14 juta penduduk tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk terus hidup.
Menurut Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), David Beasley, daripada jumlah tersebut dianggarkan 14,000 orang berada dalam kelompok fasa bencana dalam Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) Fasa 5.
Hal ini menjadikan, Madagascar antara kawasan yang memerlukan bantuan bekalan makanan dengan kadar segera sebelumĀ Oktober.
“Terdapat kemarau berulang-ulang di Madagascar yang mendorong masyarakat di pinggiran kelaparan. Lebih perit, ribuan yang menderita dan mati kelaparan bukan kerana perang atau konflik tetapi perubahan iklim yang melampau,” – David Beasley/ Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP)
Tambah WFP situasi buruk ini memaksa ramai penduduk Madagascar meninggalkan rumah dan keluarga bagi mencari sumber makanan. Manakala, mereka yang tinggal tidak dapat bertahan lama sehingga terpaksa memakan haiwan-haiwan liar, pokok kaktus, belalang, dan daun kering.
Kawasan terpencil yang jauh dari komuniti sekeliling, ditambah pula dengan kerosakan jalan raya telah menghalang penduduk di Selatan Madagascar mencari pekerjaan bagi menyara keluarga.
Merujuk pada peratus yang dikeluarkan oleh Malnutrisi Akut Global (GAM),Ā jumlah kanak-kanak yang menghidapi malnutrisi di bawah umur lima tahun di kawasan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 16.5 peratus, iaitu dua kali ganda antara bulan Mac hingga Jun.
Lebih membimbangkan, daerah Ambovombe merupakan kawasan yang paling teruk terjejas dengan kadar GAM sebanyak 27 peratus.
WFP turut menjangkakan seramai 28,000 penduduk Madagascar bakal berdepan dengan kelaparan pada bulan Oktober.
Sementara itu, WFP kini memerlukan dana sebanyak $78.6 juta dolar (RM326 juta) untuk menyediakan bekalan makanan sebagai persediaan musim kemarau akan datang.
Oleh : Wartawan Ummah Today ā Nurshazlin Shahrom / Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran)