Kuala Lumpur: Mereka yang berkelayakan serta berautoriti sahaja yang boleh merungkai persoalan mengenai hukum menggunakan bahan haram ketika darurat, bukannya secara sewenang-wenangnya oleh sesiapa saja.
Pakar yang arif perlu menentukan mengenai soal halal haram termasuk bagi tujuan rawatan kecantikan atau kosmetik.
Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, perkara yang ditentukan haram di sisi Islam tidak boleh dihalalkan begitu saja.
“Perkara darurat atau tidak ditentukan oleh pakar atau yang ada autoriti seperti mufti-mufti atau alim ulama.
“Justeru, pengasas dan pengguna produk kecantikan tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan bahan haram untuk tujuan kecantikan seperti rawatan muka,” katanya.
Beliau mengulas lanjut berkaitan gesaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi nasihat kepada seorang pengguna TikTok kerana menghasilkan bahan mengelirukan.
Perkara ini tercetus selepas pemilik akaun itu memuat naik rakaman video mendakwa produk mengandungi bahan daripada babi hanya haram dimakan dan dibolehkan untuk rawatan.
Tambahnya lagi, sebarang rawatan berkaitan perlu melalui doctor pakar yang tahu hukum dan memahami batas syarak.
Beliau menasihatkan sesiapa juga yang terbabit dalam industri kecantikan agar tidak melampaui batas dan jangan sesekali cuba menghalalkan apa yang jelas diharamkan Allah SWT.
“Mesti rujuk mufti-mufti, jangan main-main. Dalam isu vaksin pun ilmuan kita begitu teliti mengenai halal haram, begitu juga barangan kosmetik.
“Untuk rawatan kecantikan tak sampai ke tahap darurat lagi. Manusia tak mati kalau ada jerawat di wajah, jadi tak semudah itu untuk menggunakan bahan yang haram.
“Kalau guna juga, mesti dapatkan penjelasan mufti bahawa penggunaan bahan itu sudah sampai ke tahap darurat dan jika tidak diguna, boleh menyebabkan kematian atau lumpuh anggota tubuh. Jika tidak, ia akan mengundang kekeliruan,” katanya.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today