Kerohanian

Jangan politikkan isu sensitiviti agama

Tunggu penjelasan pihak berkuasa agama Johor

KUALA LUMPUR : Semua pihak diminta tidak mempolitikkan isu sensitiviti agama sebaliknya menunggu penjelasan pihak berkuasa agama Johor bagi mengesahkan status perkahwinan rakyat Malaysia beragama Islam di India.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Islam menuntut umatnya mengesahkan sesuatu maklumat diperoleh sebelum membuat sebarang tanggapan atau pandangan.

“Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk status agamanya dan pasangannya.

“Di Malaysia, seseorang yang ingin masuk Islam hendaklah mengucap dua kalimah syahadah dan mendaftarkan pengislamannya itu hadapan Pendaftar Mualaf atau mana-mana pegawai yang menguruskan pengislaman saudara baru.” – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

“Saya dimaklumkan, hal ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama Johor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan individu berbangsa Melayu adalah beragama Islam.

“Oleh itu, tidak semudahnya menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya.

“Bagi perkahwinan muslim yang dibuat di luar negara, permohonan itu perlu dikemukakan kepada Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara itu dan didaftarkan selepas pulang ke Malaysia.

“Adapun perkahwinan silang agama tidak dibenarkan dalam perundangan Malaysia,” katanya.

Katanya, sebarang tindakan yang boleh membawa kepada syubhah seperti sangkaan tidak baik kepada orang ramai sewajarnya dielakkan.

“Suka saya menasihati diri saya dan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menangani sebarang isu yang berlaku dengan berhemah.

“Seorang Muslim perlu sedaya upaya memastikan Muslim lain kekal dalam agamanya bukan berusaha mengeluarkannya dari Islam.

“Harapan saya semoga kita bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berkuasa agama Johor. Saya yakin sebarang bentuk kemelut boleh diselesaikan dengan hikmah dan bijaksana,” katanya.

Rabu lalu, seorang rakyat Malaysia, Illi Najwa Saddique melangsungkan majlis perkahwinan dengan Kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar.

Bagaimanapun, majlis resepsi perkahwinan pasangan itu yang berlangsung di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab, mengundang pelbagai reaksi dan kurang senang rakyat Malaysia.

Ia selepas rakaman video tular memaparkan Illi Najwa dan suaminya kelihatan melakukan perbuatan yang mencetuskan pelbagai persoalan hingga status agamanya menjadi pertikaian. – Berita Harian

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button