JAINJ jadi pemerhati prosiding rayuan isu kalimah Allah
Sokong kerajaan Persekutuan failkan rayuan
KULAI 25 Mac : Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bakal jadi pemerhati dalam prosiding rayuan berhubung isu kalimah Allah.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Tosrin Jarvanthi berkata ia sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Persekutuan yang memfailkan rayuan berkaitan isu itu.
“Kemungkinan besar JAINJ akan memohon untuk menjadi pemerhati dalam prosiding. JAINJ sedia membantu mana-mana pihak di peringkat Persekutuan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam hal ini,” – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam / Tosrin Jarvanthi
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai berkata isu tersebut akan dibawa ke Jabatan Fatwa Negeri Johor dan akan diwakili oleh Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad sebagai pemerhati dalam prosiding rayuan itu.
“JAIJ bersedia membantu mana-mana pihak di peringkat pusat bagi membolehkan mencari penyelesaian terbaik dalam perkara berkenaan. Masyarakat Islam diminta bersabar dan tidak membuat andaian dan keputusan sendiri dalam isu berkenaan kerana ia membabitkan sensitiviti kaum,” – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam / Tosrin Jarvanthi
Beliau berkata demikian bagi mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha Kerajaan Persekutuan yang memfailkan rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah pada 15 Mac lalu.
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar