Semasa

Hanya 5 minit – bumbung, tingkap lesap!

Kira-kira 15 rumah dan sebuah masjid musnah dibadai angin puting beliung

YAN  :  “Tak lama kemudian selepas pusaran angin itu pergi, saya nampak bumbung yang berterbangan jatuh di belakang rumah anak yang terletak bersebelahan rumah,” kata Darus Ismail, 63.

Demikian kejadian ribut teruk yang digambarkan oleh mangsa apabila angin puting beliung, membadai beberapa kawasan di Yan, Kedah pada jam 3 petang semalam.

Kira-kira 15 rumah penduduk kampung termasuk sebuah masjid musnah diterbangkan angin kencang.

Antara kawasan kampung yang terjejas ialah Kampung Sungai Kering, Kampung Kuala Sedaka, Kampung Selengkoh dan Kampung Kabu 10.

Dilaporkan, insiden puting beliung ini telah menyebabkan kira-kira 70 penduduk kampung terpaksa berlindung ke rumah saudara mara buat sementara waktu.

Merujuk kenyataan, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)  Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.30 petang berhubung kejadian tersebut. Lantas, seorang pegawai dan enam anggota APM diarahkan bergegas ke lokasi yang dilaporkan bagi memantau dan membantu mangsa  yang terjejas.

“Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan. Hasil pemeriksaan mendapati rumah yang terlibat mengalami kerosakan membabitkan struktur bumbung,” – Kapten (PA) Norlizawati Ismail/ Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)  Daerah Yan

 

Menurut Darus, hanya dia dan isteri, Faridah Ismail, 57, serta anak bongsu, Mohd Zakuan Darus, 18, berada dalam rumah itu sebelum mereka terdengar pusaran angin dari jauh.

“Saya dengar desiran angin itu kuat sebelum dengar serpihan kayu jatuh bertimpa. Saya hanya sempat menyebut ‘Allah’ sebaik melihat pusaran angin puting beliung menghampiri rumah kami dan belum sempat berbuat apa-apa, dinding kayu bahagian atas rumah habis diterbangkan angin,” – Darus, 63

Tambah beliau, pada waktu kejadian, tiada hujan, hanya desiran angin kencang yang melanda kawasan rumahnya. Namun, dalam lima minit sahaja keadaan rumah beliau berubah sekelip mata.

Sementara itu, Ketua Bahagian Operasi Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini lapan anggota dan seorang pegawai APM Daerah Yan melakukan operasi membantu membersihkan dengan mengangkat zink yang berterbangan di kawasan-kawasan yang terlibat.

Sumber Astro Awani

Laporan MetMalaysia, Kedah diramal menngalami hujan lebat di daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Kulim pada petang ini.

Manakala The Weather Channel, meramalkan ribut petir dan hujan lebat akan berterusan di kawasan Yan, Kedah selama 10 hari bermula hari ini.

Penduduk kampung dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan memastikan diri dan keluarga dalam keadaan selamat.

Sumber The Weather Channel

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Penyiaran Nurshazlin Shahrom.

Related Articles

Back to top button