BAITULMAQDIS: Tentera rejim Zionis melancarkan beberapa peluru berpandu ke beberapa lokasi di Syria dipercayai sasaran ke atas warga Syria. Serangan itu dikatakan sebagai tindak balas serangan setelah tentera Syria melepaskan peluru berpandu ke arah sebuah kawasaan di wilayah gurun Negev di selatan Israel.
AFP melaporkan, Barisan Pertahanan Israel, IDF dalam satu ciapan di twitter mendakwa Syria melancarkan peluru berpandu yang disasarkan ke kawasan berhampiran tapak nuklear rahsia di selatan Israel.
“Sebuah peluru berpandu dari permukaan ke udara dilancarkan dari Syria ke Negev, selatan Israel. Sebagai tindak balas, kami (tentera Israel) melancarkan serangan ke arah tempat peluru berpandu Syria dilancarkan,” – Pasukan Pertahanan Israel
Media kerajaan Syria, Sana melaporkan Israel melancarkan serangan itu dari Bukit Golan dan menyasarkan kawasan berhampiran Damsyik.
Jurucakap tentera Israel dilaporkan sebagai berkata, sebuah peluru berpandu Syria turut dilancarkan ke arah pesawat rejim Zionis itu dalam satu serangan awal tetapi ia gagal menepati sasaran.
Bagaimanapun, media kerajaan Syria melaporkan, tentera negara itu berjaya memintas roket-roket serangan Israel.
Serangan itu dilaporkan menjadikan lokasi-lokasi dekat bandar Dumair, kita-kira 40 kilometer ke timur laut Damsyik sebagai sasaran.
Puak pemisah yang dipercayai mendapat sokongan Iran berada di lokasi-lokasi tersebut dan ia merupakan kawasan-kawasan yang pernah diserang oleh Israel sebelum ini.
Agensi media Syria, Sana melaporkan tembakan yang dilepaskan Israel dari Bukit Golan dan disasarkan ke arah kedudukan di sekitar Damsyik.
Sana yang memetik sumber ketenteraan melaporkan terdapat empat tentera yang cedera dan beberapa kemusnahan.
Dalam pada itu, siren-siren tentang serangan Syria itu dibunyikan dekat Kampung Abu Qrenat di sekitar sebuah reaktor nuklear Israel iaitu di Dimona.
Sebelum ini, rejim Zionis itu tidak pernah mendedahkan senjata nuklearnya tetapi pakar-pakar mendakwa Israel memiliki antara 100 hingga 300 peledak senjata nuklear.
Sejak Perang Saudara meletus di Syria pada tahun 2011, Israel kerap melakukan serangan di negara itu dan menjadikan puak pemisah yang mendapat bantuan Iran termasuk anggota-anggota kumpulan Hezbollah Lebanon serta tentera kerajaan Syria sebagai sasaran serangan. – Agensi