SRI LANKA 14 Mac : Sejumlah 1,000 sekolah agama di Sri Lanka akan ditutup manakala pemakaian burqa yang menutupi seluruh wajah wanita dilarang.
Dua langkah kerajaan Sri Lanka itu memberi tekanan terbaru kepada umat Islam di negara berkenaan.
Bukan sahaja menyentuh kebebasan pemakaian umat Islam, Sabtu lalu, kerajaan negara itu mengumumkan juga undang-undang anti keganasan dengan alasan untuk menangani pelampau agama.
Pihak berkuasa Sri Lanka mempunyai kuasa penuh untuk menahan mana-mana suspek yang mencetuskan keganasan atau tidak menjaga sensiviti masyarakat di negara itu selama dua tahun tanpa disoal yang dipanggil mereka sebagai proses deradikalisasi.
Sebelum ini, masyarakat Islam di negara itu dipinggirkan hak mereka untuk mengebumikan jenazah mangsa Covid19 sebaliknya jenazah itu dibakar.
Larangan itu yang sama sekali mengetepikan hak orang-orang Islam kemudian ditarik balik awal tahun ini selepas dikritik kumpulan hak asasi manusia dan Amerika Syarikat.
Menteri Keselamatan Awam Sarath Weerasekera memberitahu media larangan pemakaian burqa diputuskan oleh kabinet, dan tindakan dicadangkan pada dasarnya atas alasan keselamatan negara.
Sekali lagi Islam dikaitkan dengan keganasan dan dituduh pelampau hanya dari aspek pakaian.
“Pada awal dulu, wanita Islam dan kanak-kanak tidak memakai burqa, ini adalah kelampauan agama yang baru baru ini saja berlaku, kerana itu kami tidak membenarkannya.” – Menteri Keselamatan Awam, Sarath Weerasekera
Katanya, dokumen larangan sudah ditandatanganinya bagaimanapun untuk ia diluluskan perkara berkenaan perlu melalui keputusan kabinet dan Parlimen, yang kini dipimpin kerajaan sokongan dua pertiga itu.
Weerasekera juga memberitahu langkah menutup seribu sekolah agama itu pula kerana melanggar polisi pendidikan Sri Lanka.
“Tiada sesiapa pun boleh membuka sekolah dan mengajar apa yang mereka mahu kepada kanak-kanak.” – Menteri Keselamatan Awam, Sarath Weerasekera
Rentetan cadangan terbaru terhadap masyarakat Islam Sri Lanka ramai pihak tampil menyatakan kebimbangan peningkatan Islamophobia di Sri Lanka.
Kerajaan negara itu dikatakan sepatutnya memberi penerangan kepada golonga rasis agama dan bukan memberi tekanan kepada orang Islam.
Berkata kepada Al Jazeera di Colombo, Shreen Saroor, seorang aktivis wanita menyifatkan larangan terbaru itu saja diumumkan pada masa komuniti Islam terus menjadi sasaran di Sri Lanka.
“Ini sebahagian reaksi terhadap Islamophobia di negara ini (Sri Lanka). Peraturan membakar jenazah sudah ditarik balik, sekarang banyak lagi langkah lain diumum kepada komuniti Islam ini. Masyarakat Islam di sini tidak pun diberi nasihat atau sebarang penerangan lebih awal”, – Shreen Saroor, aktivis wanita
Saroor melanjutkan lagi penjelasan – “sekiranya pelitup muka diwajibkan dipakai ketika mengekang pandemik virus corona, larangan memakai burqa dilihat sebagai satu tindak balas dendam, secara tidak langsung menghalang wanita Islam mengamalkan ajaran masing-masing secara bebas.
Pemakaian burqa di negara majoriti penganut Buddha ini dilarang sementara pada tahun 2019 selepas kejadian bom di gereja dan hotel yang meragut lebih 250 nyawa.
Dalam perkembangan berkaitan Presiden Gotabaya Rajapaksa, yang dilantik sebagai pada 2019 berikrar akan membanteras sekeras-kerasnya terhadap individu yang cuba mencetuskan keganasan, atau ketidaktenteraman awam oleh sebab agama, kaum dan komuniti di negara itu.
Langkah itu dikuatkuasakan pada Jumaat lalu diperuntukkan mengikut Akta Perlindungan Keganasan, PTA.
Akta itu ditolak kumpulan asasi manusia antarabangsa yang berkali-kali memohon Colombo memansuhkan larangan demikian, kerana sesiapa pun boleh ditangkap kerana bercakap mengenai apa sahaja.
Masyarakat Islam Sri Lanka hanya merangkumi sembilan peratus daripada populasi keseluruhan 22 juta penduduk negara itu.
Kerajaan pimpinan Rajapaksa ini mendapat sokongan tinggi majoriti Sinhala Buddha yang menyanjungi beliau kerana mampu menamatkan perang saudara sejak 26 tahun lalu.