Semasa

India buka kemasukan pelancong termasuk Malaysia mulai 15 November

KUALA LUMPUR : Malaysia termasuk dalam salah satu negara yang dibenarkan masuk ke negara India tanpa syarat kuarantin mulai 15 November ini.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy berkata, pelancong yang datang ke India hanya perlu menjalani ujian saringan pra-ketibaan untuk Covid-19 di negara asal dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Pelancong dari negara berisiko rendah dikehendaki membuat pemantauan kesihatan kendiri selama 14 hari selain perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ketat.

“Selain itu, kerajaan India akan menawarkan kemasukan tanpa visa kepada 500,000 pelawat asing pertama ke negara itu, bagi merancakkan kembali sektor pelancongan,” katanya.

Reddy berkata, Pusat Visa India IVS Global di Kuala Lumpur akan beroperasi mulai Isnin dan sejak tiga minggu lalu permohonan untuk visa India daripada rakyat Malaysia meningkat sehingga 150 peratus.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini terdapat 96 negara mempunyai perjanjian dengan India untuk pengiktirafan bersama sijil vaksinasi, sambil menambah bahawa kerajaan India masih menunggu maklum balas positif daripada Malaysia berhubung perkara itu.

“Kedua-dua kerajaan (Malaysia dan India) juga sedang mengadakan perbincangan untuk mengadakan kerjasama gelembung perjalanan,” katanya.

Dalam pada itu, Reddy mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia kerana berjaya memvaksin 95 peratus populasi dewasa sehingga kini,

“Sebelum Covid-19, kira-kira 700,000 pelancong India melawat Malaysia, menduduki senarai 10 negara utama mengunjungi Malaysia dan lima negara paling banyak berbelanja di negara ini,” kata Reddy.

Tambahnya, hubungan antara rakyat ini menjadi antara nadi utama kepada hubungan diplomatik India dan Malaysia.

Kerajaan India sebelum ini mengumumkan visa pelancong tersedia untuk pengunjung dari luar yang tiba dengan penerbangan sewa khas mulai 15 Oktober dan mereka yang tiba dengan penerbangan komersial biasa mulai 15 November.

– BERNAMA

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button