Hilang fokus ketika solat? Amalkan bacaan ini untuk elak dari gangguan Jin Khanzab

Ketika sedang menunaikan solat, fokus kita sering terganggu dengan perkara-perkara luar dan bermacam-macam keraguan yang timbul di dalam minda.
Contohnya seperti, terlupa rakaat, perasaan was-was sama ada kita terkentut atau tidak, lalu menjadikan kita tidak khusyuk.
Atas dasar itu kita sering dinasihatkan agar memohon perlindungan Allah dari gangguan syaitan sebelum solat.
Seorang sahabat Nabi bernama Uthman bin Abi al-Asr pernah mengadu kepada Rasulullah dia sering tidak khusyuk dan diganggu. Maka Rasulullah berpesan:
ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ
“(Yang mengganggu kamu) itu ialah gangguan syaitan yang dinamakan Khanzab. Oleh itu apabila kamu rasa diganggunya, maka segeralah mohon perlindungan kepada Allah dari godaannya” (Sahih Muslim)
Jin khanzab ditugaskan untuk menggoda manusia ketika mereka mengerjakan ibadah solat.
Khanzab akan menyelinap masuk ke dalam hati-hati orang yang sedang mengerjakan solat supaya mereka tidak khusyuk dan lalai akan rukun dan syarat sah solat.
Menurut perkongsian di laman Instagram Thalib Muda, cara untuk melawan Khanzab ini adalah dengan membaca Ta’awuz sebanyak tiga kali dan kemudian tiuplah di bahagian kiri
أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya: “Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk.”
Selepas itu, bolehlah niat dan teruskan solat. Kita juga dinasihatkan agar fahami makna ayat-ayat bacaan solat, tafsiran Al-Fatihah dan juga surah lazim yang dibaca.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga ada menjelaskan perkara ini berdasarkan pesanan Rasulullah SAW mengikut hadis riwayat Abbad bin Tamim mengenai seorang lelaki mengadu kepada Baginda tentang dirinya yang was-was kentut atau tidak di dalam solatnya. Maka jawab baginda:
لاَ يَنْفَتِلْ – أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ – حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا
Maksudnya: Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.
Justeru, kalau tiada bau dan bunyi, dan lebih kepada was-was semata-mata, boleh dikira bahawa itu hanyalah pergerakan otot dubur semata-mata.