Pelakon iklan judi raya jelaskan hanya tahu kandungan hampir 70 peratus siap
`Kesal dan serba salah' : Saifullah
KUALA LUMPUR : [SUSULAN] Sangkaan awal hanyalah sekadar muzik video raya, namun, sayangnya agenda di sebalik iklan itu rupanya berkonsepkan promosi judi. Itu luahan pelakon utama iklan GDBet333 dalam temu bual bersama Mstar baru-baru ini.
Salah seorang pelakon muzik video iklan judi yang tular di media sosial tampil tegas menerangkan isu di sebalik pembikinan iklan ‘haram’ tersebut.
Saifullah Mohd Yunus, 24, berkata, beliau dan empat orang lagi barisan pelakon iklan tersebut merasakan diri mereka tertipu dengan sindiket judi GDBet333 itu. Hanya melalui perbualan di aplikasi Whatsapp, Saifullah dan empat orang yang lain bersetuju secara membuta tuli tanpa memikirkan risiko yang bakal mereka hadapi.
Menurut Mstar, skrip dan jalan cerita iklan judi itu langsung tidak diberitahu sebelum sesi penggambaran dijalankan. Setelah beralih ke lokasi kedua ketika penggambaran, baru lirik dan bait lagu judi itu dipaparkan di set lakonan dan barisan pelakon hanya perlu menggerakan bibir (lip sync) sahaja.
Dengan berbekal tiga tahun pengalaman dalam industri lakonan, Saifullah terkilan dengan tindakan pihak penerbitan dengan menggunakan dirinya untuk mempromosi video haram itu kepada masyarakat Islam khususnya berikutan iklan itu diterbitkan tidak sampai seminggu Ramadan menjelma.
Sudah terang lagi bersuluh video itu ditujukan buat masyarakat Islam untuk ‘mencuci duit’ demi menyambut ketibaan Aidlifitri akan datang.
“Hampir 70 peratus pembikinan video, saya dan rakan baru menyedari kandungan isi video tersebut. Walau bagaimanapun, atas nama profesional, saya sebagai pelakon utama itu tidak mampu untuk menarik diri biarpun sedar tujuan muzik video itu dipaparkan.”
Kami sedar, dan kami rasa serba salah. Tapi kami tetap teruskan sampai akhir. Ada satu bahagian (iklan) kami dikehendaki sebut nama jenama itu (GDBet333), kami sangat tak puas hati. Kami rasa sangat-sangat teruk. – Saifullah Mohd Yunus
Di akhir penjelasan beliau, Saifullah memberi nasihat kepada masyarakat di luar agar mengkaji dahulu kandungan apa apa cerita atau tugas yang diberi sebelum bersetuju untuk bekerja.
Beliau juga memohon maaf atas kekhilafan beliau dan menegaskan bahawa dirinya tidak pernah menggadaikan maruah diri dan agamanya.
Dengan lantang, Saifullah bersama barisan rakan yang berlakon dalam muzik video itu akan memberi kerjasama kepada pihak polis untuk membantu siasatan dan menjelaskan perkara sebenar.
Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom