KABUL: Satu gempa bumi kuat di empat daerah wilayah Paktika, Afganistan menyebabkan hampir 280 orang terkorban dan lebih 150 lagi cedera. Pusat Kajian Geologi AS melaporkan gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter itu berlaku pada awal pagi Rabu ketika orang ramai masih tidur.
Di kawasan terpencil, helikopter dilihat telah datang membantu membawa mangsa ke hospital.
Agensi Berita Tempatan Bakhtar berkata, angka kematian mungkin meningkat manakala angka kecederaan boleh melebihi 600 orang.
“Malam tadi berlaku gempa bumi yang teruk di empat daerah wilayah Paktika, yang mengorbankan & mencederakan ratusan rakyat negara kita serta memusnahkan berpuluh-puluh rumah. Kami menggesa semua agensi bantuan menghantar pasukan ke kawasan tersebut dengan segera bagi mengelakkan malapetaka selanjutnya.” kata Bilal Karimi, salah seorang jurucakap kerajaan menerusi satu ciapan di Twitter.
Gempa itu berlaku kira-kira 44km dari bandar tenggara Khost sejurus selepas 01:30 waktu tempatan (09:30 Selasa GMT+8). Saksi melaporkan gempa turut dirasai di ibu negara Afghanistan, Kabul, serta ibu negara Pakistan, Islamabad.