DUBAI : Umum mengetahui bangunan pencakar langit tertinggi di dunia terletak di Dubai iaitu Burj Khalifa yang menjadi simbolik dan mercu kebanggaan negara tersebut.
Terbaharu, dilaporkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal membina bangunan pencakar langit yang lebih ekstrim dengan menjadikan ia bangunan terapung pertama di dunia.
Dikatakan bangunan yang dinamakan Menara Analemma itu diperkenalkan oleh sebuah syarikat arkitek di New York, Clouds AO kira-kira lima tahun yang lalu.
Lebih menarik Menara Analemma ini digantung pada sebuah asteroid dan bukannya dibina di atas tanah seperti bangunan yang lain.
Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) menjadualkan misi penangkapan asteroid dijangka dilakukan pada tahun ini.
Hal ini susulan selepas Agensi Ruang Angkasa Eropah berjaya membuktikan kebolehan mendarat di atas komet bergerak pada tahun 2015.
Justeru, mereka merasakan tidak mustahil untuk membina sebuah pencakar langit yang tergantung di asteroid dan akan berputar dalam bentuk angka lapan setiap hari serta kembali ke tempat asal di Dubai.
Bukan itu sahaja, Menara Analemma ini akan dilengkapi ruang untuk pelbagai aktiviti daripada ruang pejabat, tempat tinggal dan banyak lagi.
Pastinya pembinaan bangunan pencakar langit ini akan memakan kos yang amat tinggi. Akan tetapi, setakat ini masih belum ada sebarang maklumat lanjut tentang pembangunan projek Menara Analemma ini.
The Vocket
Oleh Nurshazlin Shahrom