PUTRAJAYA: Kelulusan bersyarat kit ujian kendiri Covid-19 bagi Innovac Technology Sdn. Bhd. dan Conan Medical Technology Berhad telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).
Menerusi Facebook MDA memaklumkan, prestasi kit ujian kendiri covid-19 tersebut gagal mematuhi syarat kelulusan yang diberikan MDA dan pembatalan dibuat berkuat kuasa serta-merta.
“MDA menasihatkan pengguna agar tidak membeli atau menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 yang tidak mematuhi keperluan MDA kerana dikhuatiri tidak selamat untuk digunakan,” katanya semalam.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan dalam ciapan di Twitternya, beliau menyatakan beliau telah menerima beberapa aduan mengenai kit ujian kendiri Covid-19 yang ada di pasaran.
Tambahnya lagi, MDA telah menguji 22 jenama dan setakat ini 12 keputusan telah diperolehi dan mendapati 2 kit tidak mencapai tahap yang ditetapkan.
“Saya telah menerima beberapa aduan berkenaan kit ujian kendiri Covid-19 yang ada di pasaran. MDA telah menguji 22. Setakat ini, 12 keputusan telah diperolehi dan mendapati 2 kit tidak mencapai tahap prestasi yang ditetapkan. Kelulusan 2 kit ini digantung serta-merta,”katanya di Twitter semalam.
Innovac Technology Sdn. Bhd. dengan kit ujian kendirinya iaitu Covid-19 (SARS-CoV-2) Antigen Kit (Colloidal Gold)-Saliva serta pengilang Anhui Deepblue Medical Technology Co. Ltd. P.R China, manakala Conan Medical Technology Berhad dengan kit ujian Wiz Biotech SARS-CoV-2 Antigen Rapid Test (Nasal Swab) iaitu pengilang Xiamen Wiz Biotech Co. Ltd. P.R China.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today