DuniaKemanusiaan

Denyutan jantung nadi dikesan, ada yang masih hidup?

Menanti keajaiban dari bawah runtuhan letupan Beirut

Beirut:  Menghampiri sebulan tragedi menyentak bumi Beirut, satu keajaiban dinantikan semua apabila pasukan mencari dan menyelamat, S & R, mengesan bunyi denyutan jantung di bawah runtuhan konkrit semalam.

Ketika ini kerja-kerja mengesan dan mencari lokasi tepat denyutan sedang giat dilakukan.

Penemuan oleh pasukan S & R dari negara Chile itu, memaksa kerja mengesan titik sebenar denyutan nadi yang dikesan dan sebarang kemungkinan ada mangsa hidup yang terperangkap di bawah runtuhan itu disegerakan.

Denyutan nadi itu dikesan oleh anjing pengesan di kawasan pencarian membabitkan pasukan S & R Chile, anggota pertahanan awam Chile, Jabatan Bomba dan Penyelamat di kawasan pencarian Mar Mikhael, yang berdekatan dengan pelabuhan.

Sebaik denyut nadi dikesan, pasukan menyelamat terus mengarahkan semua orang di kawasan penemuan berdiam diri bagi  mengenal pasti sebarang pergerakan.

Peralatan sensor  terbaik digunakan pasukan mencari dan menyelamat untuk mengesan denyut nadi dan haba panas badan manusia.

Penemuan itu turut dilaporkan oleh Agensi Berita Kebangsaan Lubnan, NNA.

Salah seorang penyelamat yang memberitahu stesen penyiaran LBCI, alat pengesan mendapati ada gerakan nadi pada kadar 19 denyut seminit dikesan.
Michel Al-Mur daripada  Jabatan bomba dan penyelamat Beirut berkata, denyutan nadi itu ditemui pada jarak dua meter dalam daripada serpihan runtuhan.
Mur juga mengandaikan berkemungkinan seorang manusia yang masih bernyawa.

Sebaik diketahui ramai, lokasi penemuaan dibanjiri oleh orang ramai dan pihak media lantas menyebarkannya di media sosial.

Gabernor Beirut berkata dengan maklumat terbaru itu beliau berharap ada mangsa yang masih hidup dapat dikeluarkan daripada timbunan konkrit yang berselerakan di lokasi kejadian.

Bangunan sekitar kawasan mencari ini musnah sama sekali dalam tragedi yang meragut 191 nyawa, 6,500 orang cedera manakala tujuh orang lagi masih dicari.

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button