Covid19DuniaKemanusiaanPalestinSemasa

Mengenang Sheikh Ahmad Yassin, guru yang ditakuti zionis

Selamat Hari Guru

Selamat hari guru. Insan yang sanggup berkorban apa sahaja untuk anak muridnya. Walaupun sering disalah mengerti kerana dianggap antara pekerjaan yang banyak cuti di Malaysia. Namun percayalah, cuti itu semua tidak ada apa ertinya kerana hari cuti juga guru sibuk bekerja. Sama ada tugasan rasmi ataupun tidak.

Apatah lagi pada musim pandemik ini, cabaran semakin besar dan peranan guru dituntut lebih daripada apa yang sudah sedia ada. Adakah guru menolak? Tidak! Malah mereka menyahut cabaran itu dengan tampil mengajar atas talian bersama pendekatan yang baharu pula walaupun dalam serba keterbatasan waktu dan bahan.

Selain isu pandemik covid-19, kekejaman zionis di Palestin juga semakin memuncak. Di bumi para syuhada itulah wujudnya susuk insan ini, almarhum Sheikh Ahmad Yassin yang selama ini dikenali sebagai seorang pengasas dan pemimpin spiritual HAMAS.

Jauh hari sebelum Sheikh Ahmad Yassin menjadi pemimpin HAMAS yang digeruni zionis, beliau adalah bekas seorang guru yang sangat luar biasa. Kerana beliau diterima menjadi guru ketika beliau sudah lumpuh badannya, dan hanya mampu berkerusi roda.

Shiekh Ahmad Yassin tinggal di kem pelarian Al Shati di Gaza, selepas beliau dan keluarganya diusir keluar dari kampungnya, Al-Jaurah, pinggiran Al-Mijdal, sebelah selatan Kota Gaza (berdekatan Ashkelon di Israel sekarang).

Beliau mempunyai empat saudara lelaki dan dua orang saudara perempuan. Manakala ayahnya Abdullah Yassin meninggal dunia ketika umurnya tiga tahun.

Ketika umurnya 12 tahun, dia mengalami kecederaan tulang belakang sehingga terpaksa tinggal di hospital selama 45 hari. Kecederaan itu berpunca selepas dia bergusti dengan rakannya, Abdullah al Khatib. Oleh kerana dia khuatir hubungan keluarganya dengan keluarga Abdullah al Khatib akan renggang, jadi beliau hanya memberitahu ibunya bahawa beliau cedera selepas bersukan di pantai.

Beliau kemudiaannya disahkan lumpuh di bahagian bawah badannya. Akibatnya beliau terpaksa berkerusi roda sepanjang hidupnya dan walaupun sempat melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, tetapi terpaksa juga menamatkan pengajiannya lebih awal atas sebab kesihatan. Namun cintanya kepada ilmu tidak pernah padam. Beliau mula belajar di rumah dalam pelbagai subjek dan bidang. Dari falsafah, ekonomi, agama, sosiologi, dan sejarah.

Pengetahuannya itu menjadikan beliau seorang yang luas pengetahuannya. Beliau menggunakan kelebihan itu semasa khutbah dan ceramah, sehingga beliau menjadi antara penceramah yang popular dan digemari di Gaza.

Selepas bertahun-tahun tanpa pekerjaan, beliau akhirnya diterima sebagai guru bahasa Arab di sebuah sekolah rendah di Rimal, Gaza. Guru besar Sekolah Mohammad al-Shawa awalnya ragu-ragu adakah Sheikh Ahmad Yassin akan diterima muridnya kerana keadaan tubuhnya yang lumpuh.

Sheikh Ahmad Yassin membuktikan dengan kekurangan itu beliau mampu menjadi guru yang baik. Beliau disayangi oleh muridnya dan pendekatan pengajarannya membuatkan subjek yang diajar menjadi sangat menarik.

Pada tahun 1960, ketika usianya 22 tahun, keadaan ekonominya sudah stabil dengan gaji yang beliau peroleh, akhirya beliau bernikah dan dikurniakan 11 orang anak.

Pada tahun-tahun mendatang, beliau merasakan gerakan bagi membebaskan bumi Palestin perlu lebih berstrategi. Ketika itu parti politik dan gerakan di Palestin mula kelihatan semakin lunak dengan zionis. Beliau yakin satu penentangan yang lebih keras perlu digerakkan.

Pada tahun 1987, selepas gerakan intifada pertama Sheikh Ahmad Yassin dan dua orang lagi sahabatnya menububhkan HAMAS (Gerakan Pembela Islam). Selepas itu beliau tidak lagi berpaling dan terus menjadi duri dalam daging kepada zionis.

Selepas beberapa kali dipenjara, ditahan dan diseksa, juga percubaan bunuh, akhirnya pada 22 Mac 2004, susuk tubuh yang sudah tua ini,yang berada di kerusi roda syahid diserang dengan misil Hellfire daripada helikopter tercanggih dunia ketika itu, Apache.

Ketika itu beliau baru sahaja usai menunaikan solat subuh berjemaah.

 

Almarhum Sheikh Ahmad Yassin, masih menjadi guru kita walaupun selepas ketiadaannya. Alhmarhum mengajar kita bahawa, kekurangan fizikal bukan penghalang untuk menjadi insan yang sangat ditakuti zionis sehingga memerlukan bantuan persenjataan tercanggih, dan perisikan terulung bagi menghapuskannya.

Yang utama adalah ilmu pengetahuan. Tanpa ilmu, umat Islam tidak akan digeruni. Ilmu itu utama, kerana daripada ilmu itulah kekuatan yang menakutkan akan tumbuh walaupun dalam serba kekurangan.

Selamat hari guru untuk semua guru di Malaysia, dan selamat hari guru juga untuk almarhum Sheikh Ahmad Yassin.

_________

Palestin kembali berdarah!

Seruan untuk kita membantu saudara di Palestin sudah tiba. Kita bantu dengan apa yang terdaya. Bantu dengan doa dan harta benda.

MAPIM Malaysia membuka peluang untuk semua bagi membantu rakyat Palestin. Selain doa, rakyat Palestin sangat memerlukan bantuan kewangan.

MAPIM Malaysia merayu infaq rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin. Boleh terus salurkan ke

https://www.billplz.com/tabungkilatgaza

ATAU

menerusi Akaun Maybank
Dana MAPIM :
5628 3463 6620

MAPIM Malaysia boleh dihubungi

menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016

Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia

Related Articles

Back to top button