Dakwaan disuntik picagari kosong di PPV BACC hanya salah faham – IPD Kajang
KUALA LUMPUR : Dakwaan seorang penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) disuntik vaksin daripada picagari kosong adalah salah faham.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata petugas di Pusat Pemberian Vaksin berkenaan telahpun berhubung dan menerangkan dengan jelas prosedur pengambilan vaksin kepada lelaki tersebut dan penerima vaksin tersebut telah berpuas hati.
“Ianya merupakan salah faham dimana lelaki itu menyangka dirinya telah disuntik dengan vaksin kosong tetapi kejadian sebenar, dia telahpun disuntik dengan vaksin jenis Sinovac.
“Setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh penerima vaksin tersebut atau mana-mana individu berkaitan dakwaan hampir ditipu ketika menerima suntikan vaksin di pusat vaksin tersebut.
“Laporan polis hanya dibuat pihak BACC untuk menjelaskan dan menafikan perkara tersebut (suntikan vaksin kosong) adalah tidak berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes telah disiasat oleh pihak polis dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan siasatan dapati ciapan di ruangan komen Twitter tersebut adalah dibuat oleh teman wanita penerima vaksin tersebut yang menyebabkan ianya tular dan mendapat pandangan yang negatif daripada masyarakat terhadap perkara ini.
Sementara itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan atau ciapan yang tidak pasti kebenarannya terutama bagi isu-isu sensitif seperti pemberian vaksin.
Hal Ini bagi mengelakkan salah tanggapan atau pandangan serong daripada masyarakat serta boleh mendatangkan kegusaran dan menganggu-gugat ketenteraman awam berkaitan isu pemberian vaksin tersebut.
Oleh Hafeez Anuar