Dakwaan Aidilfitri tahun ini disambut awal sehari tidak benar
KUALA LUMPUR : Dakwaan bahawa Hari Raya Aidilfitri tahun ini bakal disambut lebih awal sehari iaitu pada Isnin, 2 Mei adalah tidak tepat sama sekali.
Menurut kenyataan Balai Cerapan Al-Khawarizmi, selagi rukyah tidak memutuskan apa-apa pada 29 Ramadan 1443 H diterima dan selesai dilakukan, sebarang pemakluman awal adalah tidak benar.
Mengulas lanjut, kaedah penetapan awal bulan Islam di Malaysia dilakukan pada petang 29 Ramadan 1443 H secara imkanurukyah (rukyah dan hisab), di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di seluruh Malaysia.
“Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan pada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja- Raja. Hasil keputusan rukyah akan dilaporkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja – Raja pada malam 29 Ramadan 1443 H.
“Keputusan kenampakan hilal akan diumumkan pleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu seorang individu bernama A Zaharim A Aziz mendakwa data yang diperoleh daripada Pejabat Almanak Nautika Baginda (UK) menunjukkan ketinggian dan pemanjangan anak bulan baharu pada waktu matahari terbenam bagi Kuala Lumpur adalah masing-masing 5 darjah dan 7 darjah.
“Ini bermakna dengan kaedah Imkanur Rukyah, hilal baharu kelihatan walaupun tidak dapat dilihat kerana cuaca buruk.
“Oleh itu, selepas proses pengesanan selesai, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hendaklah mengisytiharkan bahawa 2 Mei 2022 (Isnin) adalah 1 Syawal 1443H, sehari lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan dalam kalendar rasmi,” menurut kenyataan individu tersebut.