SemasaSukan

Safawi di tempat kesembilan ‘Asia’s Choice – Fan Awards’

Best Young Player in 2020 - milik Mehdi Ghayedi selepas mendapat 24.4 mata

KUALA LUMPUR: Impian bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid untuk merangkul Anugerah Pemain Muda Terbaik Asia 2020 tidak kesampaian selepas dia hanya berada pada kedudukan kesembilan.

Anugerah yang dikenali sebagai ‘Asia’s Choice – Fan Awards: Best Young Player in 2020’ itu dimenangi pemain muda Iran, Mehdi Ghayedi selepas mendapat 24.4 mata.

Ghayedi mengalahkan rakan senegaranya, Mehdi Abdi Qara yang berada di kedudukan kedua dengan 21.37 mata.

Sementara itu, pemain Korea Selatan yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Kejuaraan AFC U23, Won Du-jae di tempat ketiga selepas memperoleh 16.2 mata.

Safawi yang juga tonggak penting Harimau Malaya mengumpul 3.07 mata untuk berada dalam kelompok 10 terbaik daripada 20 calon asal yang disenaraikan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi merebut anugerah itu.

Anugerah itu dianjurkan AFC sebagai memberi pengiktirafan kepada pemain muda Asia berusia 23 tahun atau lebih muda pada 31 Disember 2020 berdasarkan persembahan bersama kelab dan pasukan kebangsaan.

Mata yang diperoleh dipengaruhi oleh 60 peratus undian peminat manakala baki 40 peratus diberikan panel pakar.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan kem latihan pusat pertama Harimau Malaya akan bermula pada awal bulan depan.

Dia bagaimanapun menjelaskan tarikh rasmi kem latihan itu masih belum diputuskan kerana menunggu beberapa perkara termasuk keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai perjalanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Kita sedang berbincang dan mungkin dalam dua atau tiga hari ini kita akan peroleh tarikh kem latihan serta umum senarai nama pemain. Kita mungkin bermula (latihan pusat) pada awal Februari, benda itu tak boleh sahkan lagi. Kita pun sedang tunggu keputusan MFL, sebab itu kita pun tak boleh umumkan lagi nama pemain,” – Tan Cheng Hoe /Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan

Dia bagaimanapun boleh menarik nafas lega selepas kerajaan memberi lampu hijau untuk skuad Harimau Malaya mengadakan latihan pusat secara kuarantin sebagai persiapan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac ini. – Berita Harian

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button