Covid19Semasa

COVID-19 bukan penghalang berita TVS untuk terus bersiaran

Bilik berita TVS ditutup setelah staf positif

KUALA LUMPUR 18 April: Berita TV Sarawak (TVS) akan bersiaran langsung dari kediaman mereka malam semalam (18/4) ekoran penutupan buat sementara waktu bilik berita kerana salah seorang staf mereka didapati positif Covid-19.

Menurut laporan Bernama, salah seorang pembaca berita TVS , Khairil Zharif Affindie yang disahkan positif Covid-19 dan kini ditempatkan di pusat kuarantin khas juga akan menyampaikan berita malam semalam.

“Penutupan sementara bilik berita TVS akibat Covid-19 tidak melemahkan semangat staf kami. Berita dan penerbitan program mesti diteruskan. Bagaimanapun ia harus dilakukan di tempat yang selamat,” – TVS

Ketua Pegawai Eksekutif TVS Suhaimi Sulaiman dalam satu kenyataan, memaklumkan Covid-19 ini tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus menyampaikan maklumat kepada penonton.

Beliau juga  turut serta menyampaikan buletin itu bersama rakan setugasnya.

“Covid-19 tidak akan menjadi alasan untuk kami tidak bekerja, ia juga tidak akan menghentikan kami untuk terus memberikan yang terbaik dan membawa berita terkini kepada penonton. Kita mesti menjadi kreatif dengan menggunakan kaedah terbaik untuk terus menyiarkan dan berfikir secara lateral untuk mengatasi masalah,” – Ketua Pegawai Eksekutif TVS / Suhaimi Sulaiman

Suhaimi menambah bahawa pendekatan yang digunakan sejajar dengan misi TVS untuk menyampaikan kandungan yang segar, informatif dan menghiburkan serta menjadi sumber inspirasi kepada semua.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button