PUTRAJAYA: Sebanyak 25,854 kes baharu COVID-19 direkodkan semalam dan menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus itu, kini meningkat kepada 3,468,590 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes baharu dikesan semalam itu membabitkan 25,406 kes penularan tempatan, 448 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Mengulas mengenai kes semalam, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 25,702 kes atau 99.41 peratus membabitkan pesakit COVID-19 dalam kategori satu dan dua.
Kedua-dua kategori tersebut tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.
“Selain itu 152 kes lagi bersamaan 0.59 peratus pula membabitkan pesakit COVID-19 kategori tiga hingga lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham ketika memaklumkan perincian mengenai kes dalam kategori tiga hingga lima, sebanyak 58.55 peratus atau 89 kes membabitkan individu yang sudah menerima dua dos vaksin tetapi belum mendapatkan dos penggalak.
“Dalam pada itu, sebanyak 65 kes iaitu 42.76 peratus pula membabitkan pesakit berusia 60 tahun dan keatas, mempunyai komorbid (51 kes), sudah menerima dos penggalak (38 kes), tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksin (25 kes) dan ibu mengandung (satu kes).
“Secara keseluruhannya, daripada jumlah kes aktif di negara ini, setakat ini terdapat 374 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 134 kes disahkan dengan 240 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
“Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sehingga kini terdapat sejumlah 213 kes iaitu 74 kes disahkan serta 139 kes pula disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, mengenai penularan kluster di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat 475 kluster yang masih aktif selepas pihaknya semalam, mengesan tujuh lagi kluster baharu.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan, setakat semalam terdapat 25,548 kes sembuh dilaporkan kepada pihaknya.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu adalah sebanyak 3,142,112 kes.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today