Covid19DomestikSemasa

COVID-19 : 19 kes kematian semalam

PUTRAJAYA: Sebanyak 19 kematian akibat COVID-19 yang direkodkan pada hari kedua tahun 2022, semalam, dengan lima daripadanya dilaporkan di Selangor.

Laman sesawang ‘COVIDNOW’ melaporkan, empat daripada kes kematian dilaporkan setakat tengah malam tadi, membabitkan kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Laporan itu turut mendedahkan 31,532 kes kematian direkodkan akibat COVID-19 di negara ini, dengan seramai 6,362 pesakit adalah kes BID.

Perincian data dalam laman sesawang GitHub Kementerian Kesihatan (KKM) pula menunjukkan, kes kematian turut dilaporkan di Terengganu membabitkan empat mangsa iaitu Johor (tiga) manakala Sabah (dua) dan masing-masing satu kematian di Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Setakat ini, bilangan kes aktif adalah sebanyak 40,606 pesakit, iaitu seramai 33,393 individu atau 82.2 peratus menjalani kuarantin di rumah; sebanyak 3,460 kes menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan 3,469 lagi dirawat di hospital.

Dalam pada itu, sebanyak 93,017 dos vaksin diberikan semalam, iaitu 91,436 dos penggalak; sebanyak 737 dos pertama dan seramai 844 individu melengkapkan dua dos pelalian semalam.

Selain itu, sebanyak 97.7 peratus populasi dewasa di negara ini telah lengkap vaksinasi manakala bagi remaja, 87.6 peratus daripada mereka juga telah lengkap vaksinasi.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummahh Today

Related Articles

Back to top button