LONDON: Kerajaan mengumumkan untuk menarik balik pemberian percuma kit COVID-19 menggunakan sampel air liur terhadap penduduk Britain yang tidak lagi perlu melakukan saringan COVID-19 walaupun bergejala.
Pemberian kit ujian COVID-19 secara percuma itu akan dihapuskan untuk sebahagian besar penduduk di England bermula Jumaat ini.
Bagaimanapun, menurut kementerian kesihatan, mereka yang berisiko seperti pekerja Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), penghuni rumah jagaan dan pesakit yang berisiko dikecualikan daripada pelaksanaan itu.
Daily Mail melaporkan, penduduk tidak perlu melakukan ujian saringan COVID-19 walaupun bergejala, sebaliknya akan dinasihatkan untuk menjalani kuarantin kendiri sehingga keadaan kesihatan mereka menjadi baik.
Bermula 1 April kit ujian pantas itu akan ditarik balik sebagai sebahagian fasa terakhir ‘strategi hidup bersama COVID-19’.
Ketika tempoh kes jangkitan semakin memuncak, kit ujian asimptomatik akan diberikan secara percuma untuk petugas kesihatan NHS, kakitangan hospital dan pusat penjagaan sosial sahaja.
Ia juga akan diagihkan kepada pesakit bergejala di hospital atau individu yang layak menerima suntikan antiviral berdasarkan keadaan kesihatan asas.
Kit ujian saringan COVID-19 percuma itu diberikan kepada golongan berisiko tinggi sekiranya mempunyai gejala termasuk pegawai penjara atau kakitangan di pusat perlindungan gelandangan.
“Butiran lanjut berhubung golongan yang layak menjalani ujian saringan akan dibentangkan pada Jumaat ini,” jelas kementerian kesihatan.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today