Bosan menunggu, perempuan ini membuat satu gerakan yang mengubah tempat menunggu
Memberi itu indah
Gerakan Baca Sambil Menunggu (GBSM) adalah gerakan yang sederhana, tetapi impaknya sangat besar. Sambil menunggu, bacalah buku. Itulah hasrat GBSM. Ia sebuah gerakan yang diasaskan seorang perempuan. (Kata ‘perempuan’ dipilih kerana ia bukan sekadar perbezaan jantina, tetapi lambang kesetaraan kepada ‘tuan’, ‘puan’)
Beliau tidak mahu hanya beliau seorang sahaja yang membaca sambil menunggu. Beliau mahu lebih ramai yang begitu dan itulah yang beliau lakukan sejak tahun 2010 sehingga kini. Beliau berusaha menyediakan bahan untuk dibaca di setiap tempat orang menunggu. Ia sebuah kisah tentang usaha berkongsi, tentang usaha memberi apa yang termampu. Namun, kisah gerakan ini bukan semata-mata bermula pada tahun 2010, ia sebenarnya bermula sejak beliau dari kecil. Inilah kisah beliau.
Kerja
Nama penuh saya, seperti di Facebook, Zatika Izati binti Puade. Saya berasal dari Muar, Johor. Kelulusan UITM Shah Alam dalam jurusan perakaunan (Bacc, Hons). Kerja hakiki pertama, juruaudit di Anuarul Azizan Chew (sekarang dikenali sebagai Morison AAC).
Tidak ramai yang tahu, selepas SPM saya pernah bekerja di kilang kain depan rumah. Kerjanya nampak mudah, iaitu memotong lebihan benang pada baju-baju yang sudah siap dijahit. Pada awalnya saya rasa seronok sebab kerjanya mudah, tetapi selepas beberapa jam berdiri (tidak dibenarkan duduk) dan asyik tertinggal benang yang perlu dipotong, saya mula berasa penat. Saya cuma bertahan sehari saja di kilang tersebut. Seingat saya gaji sehari itu pun saya tidak ambil. Zatika yang berusia 17 tahun belajar betapa susahnya mencari wang jika tiada kelulusan dan tiada pengalaman.
Saya pernah bekerja sebagai juruaudit selama empat tahun setengah. Eksekutif di MNC setengah tahun, dan kemudiannya sebagai akauntan di GLC selama kira-kira sembilan tahun, sebelum VSS pada tahun 2013. Sekarang saya bekerja sendiri sebagai penterjemah bebas, sambil menggalas tugas hakiki seorang ibu dan pengurus rumah tangga.
Keluarga
Bercerita tentang keluarga, arwah ayah saya seorang guru sekolah rendah, emak saya suri rumah. Jarak umur ayah dan mak saya 15 tahun. Jadi, seringkali orang melihat emak seperti kakak saya. Saya anak sulung daripada 9 beradik, 4 perempuan dan 5 lelaki. Susunannya saya, dua adik perempuan, lima adik lelaki dan adik bongsu saya, perempuan. Emak dan ayah saya orang kreatif dan serba boleh; emak suka menjahit, ayah pula suka bertukang (membuat perabot-perabot rumah sendiri), membela haiwan, bercucuk tanam dan seumpamanya.
[Adik perempuan saya (adik nombor 2) meninggal pada tahun 2017 akibat kanser payu dara. Emak saya pula cancer survivor.]
Pada tahun 1984, ayah membina sebuah warung di depan rumah untuk emak. Daripada situlah saya belajar berniaga menolong emak menjual makanan. Mi goreng, nasi lemak, rendang, dan sotong sambal yang dicucuk pada lidi. Uniknya warung kami, emak memasak menggunakan kaedah tradisional, dengan batu giling dan dapur anglo. Kalau musim durian, mangga atau kemang (binjai), kami akan jual buah juga yang dikutip dari kebun. (Sekarang warung itu mak sewakan kepada orang lain).
Tentang ayah yang sangat saya ingat, sedari kecil lagi, ayah suka membeli buku untuk anak-anak. Memori zaman kanak-kanak saya, ada banyak buku-buku tebal bahasa Inggeris yang beli dari Amerika (agaknya). Buku-buku ini kami tidak simpan di rak tetapi dibaca sehingga lunyai.
Setiap hari ayah akan membeli akhbar NST supaya kami belajar membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris. Kami cuma dapat membaca surat khabar berbahasa Melayu pada hari minggu sahaja. Saya ingat lagi, emak saya suka membaca segmen ‘Di Celah-celah Kehidupan’ dalam sisipan Panca Indera akhbar Mingguan Malaysia. Lebih kurang seperti KRT ‘jaman now’.
Ayah tahu anak-anaknya suka membaca jadi dia suka belikan buku atau komik kegemaran kami. Biasanya sayalah yang dapat baca dahulu sebab saya anak sulong. Adik-adik lain menunggu giliran dengan sabar. Itulah antara kegembiraan yang tidak dapat dilupakan apabila melihat senaskhah komik atau majalah Mastika di celah-celah surat khabar yang ayah bawa balik.
Sebagai kakak sulong, tanggungjawab saya menjadi besar. Menjaga adik-adik, mengajar, menolong menghantar, mengambil dari sekolah (membonceng basikal). Malah selepas sudah bekerja dan punya gaji sendiri, saya tidak pernah lupa menghantar wang kepada ayah dan emak. Sebab ada adik-adik yang masih belajar (pada masa tu). Sehingga sekarang, tanggungjawab saya masih pegang, mengurus hal-hal pusaka arwah ayah bagi pihak keluarga, berurusan dengan peguam, waris-waris ayah yang lain.
Saya juga pustakawan sekolah di sekolah menengah kerana saya suka bergelumang dengan buku. Ada masanya saya tukarkan kad perpustakaan kawan-kawan yang sudah usang dengan kad baharu. Perlu bayar 50 sen dan saya gunakan wang sendiri, tanpa pengetahuan mereka. Itu memberi saya kepuasan.
Entah mengapa, saya juga dapat kepuasan apabila melihat rak buku, melihat buku-buku baru sampai, membalut buku, memproses buku, mengisi buku NILAM dan semuanya tentang buku. Sekiranya dapat hadiah dari sekolah pun, hadiahnya buku.
Inspirasi
Bercerita tentang inspirasi GBSM, pastilah ia datang daripada Allah swt. Ia datang dalam setiap perkara yang terlintas dalam hati dan fikiran saya. Begitu juga naluri untuk memberi. Allah yang hadirkan hasrat dalam hati, ‘apa yang aku boleh buat untuk membantu orang ini, tempat ini, apa yang boleh aku sumbangkan di sini, yang tidak perlukan bajet yang besar?’
Untuk GBSM ini, saya mendapat idea ketika pergi check up di hospital sewaktu mengandung anak kedua. Semasa menunggu yang lama walaupun ada appointment membuatkan saya bosan. Rasa-rata pengunjung / pesakit juga menunggu kosong (sebelum zaman smartphone) jadi pada suatu hari saya bawa majalah-majalah wanita dari rumah dan letakkan di sebuah rak kosong di ruang menunggu.
Selain itu, saya juga kagum dengan usaha John Wood yang meninggalkan syarikat gergasi Microsoft bagi menubuhkan Room To Read. Buku beliau ‘Leaving Microsoft to Change the World’ diterjemahkan oleh Iskandar Syah Ismail. Iskandar Syah aka Dr Bubbles juga salah seorang yang memberi semangat kepada saya apabila melihat beliau menubuhkan perpustakaan sewaktu bersama Islamic Relief Malaysia. Iskandar juga yang memberi tahu saya supaya ‘Just Do It!’ apabila saya suarakan niat untuk membentuk GBSM di FB pada tahun 2010.
Apabila menonton drama dan filem Korea Selatan, saya suka memerhatikan setiap rumah mempunyai rak buku. Walaupun semiskin mana watak drama atau filem tersebut, pasti ada rak buku di rumah atau tempat bekerja mereka. Pada tahun 2017, saya berpeluang melawat Incheon, Ibu Kota Buku Dunia tahun 2015 dan dapat menyaksikan sendiri tempat-tempat aktiviti perbukuan yang telah dijalankan dua tahun sebelum itu, seperti lorong buku Baedari yang menempatkan deretan kedai-kedai buku terpakai, yang menjadi lokasi penggambaran Kdrama, Goblin.
Bersempena KLWBC 2020, saya terfikir, mengapa tidak kita? Jadi, pada tahun 2020, kami naikkan gear dan bergerak ke lebih banyak tempat seperti pusat gelandangan, pusat kuarantin, rumah perlindungan wanita, hospital dan beberapa tempat lagi. Saya amat bersyukur kerana setiap kali saya uar-uarkan tentang projek, pasti ada sahabat handai, saudara mara yang membantu menyumbang buku atau wang ringgit. Tanpa mereka, tak mungkin kami dapat jayakan projek-projek ini.
Quote yang dipegang
Quote oleh Erma Bombeck, salah seorang penulis kegemaran saya – “When I stand before God at the end of my life, I would hope that I would not have a single bit of talent left, and could say, ‘I used everything you gave me’.”
Quote oleh Lou Holtz – “If what you did yesterday seems big, you haven’t done anything today.”
Perkara terbaik tentang usaha ini?
Kepuasan dapat melihat orang memanfaatkan bahan bacaan atau buku yang kami sumbangkan. Kegembiraan apabila dapat menyampaikan amanah yang diberikan oleh orang ramai (buku, wang sumbangan)
Mungkin sebab saya seorang freelancer, maka masa saya agak fleksibel berbanding jika bekerja sepenuh masa, yang mana perlu menumpukan masa dan tenaga kepada kerja hakiki.
Anak-anak saya juga sudah besar dan tidak perlu perhatian seperti sewaktu mereka kecil dahulu.
Pendapatan suami saya pun Alhamdulillah, selesa untuk kami sekeluarga, ditambah pendapatan freelancing saya (walaupun tidak banyak mana, Alhamdulillah). Wang ini saya gunakan untuk membayar overhead apabila menjalankan projek seperti minyak, tol, membuat pelekat dan sebagainya.
Saya boleh memandu dan bergerak sendiri (biasanya dengan anak-anak) dengan bantuan minimal daripada suami dan orang lain. Ini adalah kerana suami saya bekerja ‘long hour’,
Apa-apa perkara berkaitan keluarga, anak-anak di rumah dan sebagainya, saya yang kendalikan sementara suami bekerja di pejabat. Suami saya juga seorang anak yang taat, yang amat mengambil berat perihal ibu beliau (selepas kematian ayah mertua). Setiap hari dia akan ke rumah emak mertua saya yang terletak di sebelah taman.
Semasa emak mertua saya meninggal, suami dapat luangkan masa dengan emak pada saat-saat terakhir, dan kami dapat sama-sama mengurus jenazah sehingga selesai semua proses. Tidak ada timbul rasa terkilan kerana saya tidak pernah menghalang suami daripada meluangkan masa untuk emaknya sejak awal perkahwinan. Alhamdulillah.
Kemahiran yang perlu?
Kemahiran atau sikap yang perlu ada :
-
Tujuan yang jelas – mengapa mahu beri buku atau set up sudut bacaan? Mengapa tidak sumbangkan makanan, pakaian? Ingat kembali ayat pertama yang diturunkan? Iqra’.
-
Diri sendiri yang sedia dan suka untuk memberi tanpa mengharapkan apa-apa balasan atau penghargaan daripada penerima dan orang ramai. Saya sentiasa ingatkan diri supaya tidak memuat naik gambar sendiri kecuali apabila tarikh penyerahan. Gambar-gambar belakang tabir pula saya tulis berkenaan cara kerja atau tip.
-
Bersikap rendah hati, rendah diri dan tidak sombong atau berlagak apabila bertemu penerima. Tidak menganggap diri sendiri lebih baik, lebih berilmu atau lebih segala-galanya
-
Husnuzon. Sentiasa bersangka baik dengan penerima. Buang jauh-jauh pemikiran, ‘eh macam mana kalau ada orang bawa balik buku-buku ini?’ ‘Selamat ke kalau aku tinggalkan buku-buku ni kat sini?’ ‘Eh eh orang dah bagi buku free banyak pula songelnya?’ Jangan buat begini, ever.
-
Berlapang dada dengan apa-apa juga peraturan atau syarat yang dikenakan oleh penerima. Contohnya, perlu buat surat atau e-mel rasmi kepada pihak pengurusan. Perlu menunggu kelulusan pihak atasan dan seumpamanya.
-
Bersedia berkorban wang, masa dan tenaga. Maksud saya, tidak kisah atau tidak berkira jika perlu gunakan wang sendiri
-
Bersifat amanah ketika mengurus sumber-sumber daripada orang lain seperti buku dan duit. Setiap sumbangan dan perbelanjaan perlu direkodkan dengan teliti. Simpan semua resit. Latar belakang saya sebagai juruaudit / akauntan banyak membantu dalam hal ini.
-
Saling hormat-menghormati, tidak kira jantina, bangsa pangkat dan usia. Sentiasa ucapkan terima kasih.
-
Berlapang dada dan belajar perkara-perkara baru seperti, menulis email rasmi, surat rasmi, dan berkomunikasi dengan pihak pengurusan (pengalaman dalam kokurikulum ASABINA (Asas Bina Negara) sewaktu di universiti banyak membantu dalam hal ini)
-
Pandai membahagikan masa dengan tugas hakiki seorang ibu, isteri. Dalam hal ini, suami saya banyak bertolak ansur melihat rumah yang dipenuhi buku-buku sumbangan orang ramai. Sebab dia bukan orang buku. Dan dia okay apabila saya kata, “Malam ni kita beli sajalah makan malam.”, sebab kadangkala saya penat dan kesuntukan masa untuk mengurus buku, troli dan sebagainya. Pasangan yang memahami, redha, dan sabar amat penting terutama untuk wanita yang mahu berjinak-jinak dalam aktiviti sukarela.
Hobi
Membaca. Menyertai virtual run (sejak Julai 2020). Setakat ini saya sudah menyertai kira-kira 20 VR, dengan lebih 100 kilometer sejak Julai 2020. Saya rehat sekejap, dalam dua minggu lepas pembedahan pada bulan Oktober 2020, dan menyambung semula pada pertengahan bulan 11. Saya tidak berlari, cuma brisk walk saja.
Saya juga peminat kpop yang sedang cuba mengurangkan minat dalam bidang tersebut. Walaupun sudah menterjemah tiga buku berkenaan BTS.
Saya juga gemar masuk apa sahaja peraduan yang saya rasakan sesuai. Kemenangan pertama saya masa tingkatan satu (agaknya), tetapi sejak akhir-akhir ini agak kurang sebab jarang menang.
Perancangan jangka masa panjang
Selagi Allah swt pinjamkan nyawa, masa, wang dan tenaga, saya akan cuba meninggalkan lebih banyak jejak GBSM di seluruh Malaysia, Insya Allah. Semoga wabak Covid-19 cepat diangkat Allah dari muka bumi ini.
Saya juga mahu buangkan sikap suka bertangguh. Sebagai ibu yang memakai pelbagai topi, saya kadang-kadang sukar merancang perkara yang perlu dibuat sehari-hari. Sebab itu buku saya tidak siap-siap.
Cabaran
Jujurnya selepas pembedahan membuang rahim, tiub dan ovari tahun lepas, saya mudah penat (disebabkan masalah fibroid dan endometriosis pada ovari). Forced menopause. Emosi pun kadangkala turun naik. Jadi selagi masih ada kudrat, saya akan terus menggerakkan aktiviti-aktiviti di bawah GBSM.
Teknologi buku bercetak. Cabaran mengajak orang membaca dalam zaman semua orang mempunyai telefon pintar. Ada juga yang berkata, mana ada orang membaca lagi zaman sekarang?
Dulu-dulu, saya main redah sahaja apabila mahu meletakkan bahan bacaan di hospital. Stail gerila. Tanya nurse, nurse beri ‘green light’, kami pun susun majalah di rak yang ada.
Tetapi baru-baru ini, hospital yang saya recce meminta saya berhubung terus dengan jabatan komunikasi korporat atau pihak pengurusan. Mula-mula saya rasa macam, ‘aduh, lecehnya la. Kita nak bagi buku dan majalah free kot, bukan minta bayaran pun’, namun, apabila saya berkomunikasi dengan mereka, barulah saya faham.
Sesetengah bahan bacaan tidak sesuai untuk diletakkan di tempat berkaitan. Misalnya, hospital rakan bayi yang menggalakan penyusuan ibu, tidak boleh diletakkan majalah atau bahan bacaan yang ada gambar botol susu, puting susu, iklan susu formula, walaupun majalah berunsur kekeluargaan. Ini melanggar dasar mereka. Saya akur. Diibaratkan orang masuk ke rumah kita, tiba-tiba beri barang percuma tetapi tidak sesuai dengan norma dan nilai kita sekeluarga. Mesti kita pun rasa nak marah kan?
Apa kata rakan-rakan dan keluarga?
Rakan-rakan dan keluarga banyak membantu kami, dengan menyumbangkan bahan bacaan, wang ringgit, tenaga (anak-anak yang sering menemani saya menghantar buku). Kadangkala saya tidak sangka ada yang menyumbang selepuk dalam jumlah yang besar, sama ada wang atau buku.
Kisah tentang GBSM yang diingati
Ada satu kisah saya baru balik dari Kajang, mengambil buku-buku sumbangan daripada seorang sahabat. Dalam perjalanan pulang saya singgah makan di Tesco Cheras.
Sewaktu hendak balik, saya perasan ada seorang nyonya tua mengekori saya, hingga ke kereta. Dalam teragak-agak, dia bertanya, boleh ke tumpangkan dia balik ke rumah, sebab cuaca panas dan dia tak larat hendak berjalan.
Di tangannya ada RM3, saya agak dia mahu bayar duit minyak. Saya kata, “Aunty, mari masuk, saya hantarkan (sebelum itu saya alihkan bungkusan buku yang besar di kerusi depan ke dalam bonet). Rupanya rumah dia berhampiran kawasan itu saja. Saya hantarkan sampai depan pagar rumah.
Dia mahu bayar duit tambang tetapi saya menolak. Orang tua, tidak sampai hati saya ambil bayaran (dan saya teringat emak di kampung). Dia begitu berterima kasih dan melambai sebelum saya memandu pergi. Belum pun seminit saya beredar dari situ, saya menerima satu panggilan. Rupa-rupanya ada klien mencari penterjemah dan mereka meminta saya menghantarkan proposal. Subhanallah, itulah antara tugasan dengan bayaran tertinggi pernah saya dapat.
Banyak juga peristiwa ‘Allah bayar cash’ yang berlaku dalam hidup saya. Sehingga saya sendiri terdetik dalam hati, ‘Ya Allah, aku ni dah la banyak dosa, kurang amal. Engkau pula selalu bagi aku macam-macam’. Ya Allah, adakah ini nikmat atau istidraj? Doa saya supaya Allah swt redha dengan apa yang saya lakukan sehingga hari ini.
Itu tentag kisah yang manis. Kisah yang tidak manis pun ada. Ada satu ketika saya hantar buku dan majalah ke sebuah hospital swasta. Selepas menyusun majalah di rak, ada sepasang suami isteri agaknya (orang Timur Tengah) ambil majalah itu dan buat alas makanan. Allahu, saya hilang kata-kata. Takkan hendak cakap, “Eh, majalah tu untuk dibaca, bukan untuk dibuat alas makan.”
Doa
Bangun pagi, ‘aku serahkan seluruh kehidupanku kepadaMu ya Allah. Baik dan buruk yang Kau sediakan untuk aku, pasti ada hikmah disebaliknya.’ Selain doa-doa lazim lain seperti, mohon murah rezeki, ampunkan dosa-doa ibu bapa, suami, anak-anak, umat islam.
Oh ya, saya amalkan solat dhuha setiap hari, Insya Allah.
Nasihat untuk yang mahu masuk bidang ini
Ingat semula kenapa kita buat benda ini? Ya, Lillahi Taala tetapi untuk apa? Kemasyhuran? Nak popular? Nak glamour? Untuk dapatkan projek dan sebahgiannya masuk poket sendiri (sebagai upah?)
(GBSM ialah sebuah grup FB. Saya tiada perancangan untuk mendaftarkannya sebagai NGO, walaupun ada orang cakap, lebih mudah nak dapat dana, sponsor etc. Saya belum bersedia dengan komitmen untuk menjadikannya ‘day job’ saya, mengadakan mesyuarat, menyediakan laporan kewangan dan sebagainya. Dengan GBSM, saya suka kerana ia fleksibel. Jika ada wang dan bahan bacaan, kami cari penerima. Jika tiada wang, tiada bahan bacaan, kami buat aktiviti yang berkos rendah tetapi berimpak tinggi seperti cuci telekung di tempat awam).