SemasaSyria

Bergelar pelarian Syria, tidak halang 3 beradik hafaz Al-Quran

BEQAA: Meskipun tinggal bertahun-tahun di dalam khemah dengan kemudahan serba daif, ia tidak mematahkan semangat tiga beradik daripada keluarga pelarian Syria untuk menghafaz 30 juz Al-Quran.

Demikian semangat dibuktikan oleh Oussama Yahya, 22, Becher Yahya, 20, dan Maryam Yahya,18, yang masing-masing berjaya khatam Al-Quran di Dar al-Fatwa, iaitu sebuah institusi pendidikan agama terulung di Lubnan yang berasaskan manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Tiga beradik itu bersama ibu bapa mereka, terpaksa lari meninggalkan kampung halamannya di Al-Qusayr, Syria kira-kira 120 kilometer dari penempatan terkini sejak lapan tahun lepas kerana ingin menyelamatkan nyawa selepas berlakunya peperangan antara tentera kerajaan dan tentera pembebasan.

Berkongsi kisahnya itu kepada BERNAMA, Becher yang kini seorang Imam Masjid di kem al-Yasmine berkata selain berminat untuk mendalami ilmu Al-Quran, faktor kehidupan remaja yang mempunyai masa terluang membolehkannya memberi tumpuan kepada hafazan.

“Bergelar pelarian, untuk saya bergerak bebas seperti remaja lain tidak boleh, banyak masa saya di kem dan juga di Dar al-Fatwa. Jadi, apa lagi cara terbaik untuk saya menunjukkan rasa syukur kepada Allah ialah menghafaz al-Quran“, katanya yang berjaya menghafaz dalam tempoh tiga tahun.

Becher berkata walaupun ketiga-tiga mereka bergelar hafiz dah hafizah, namun hasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti universiti masih terbantut walaupun mengikuti pembelajaran di sekolah menengah.

“Kami hanya boleh belajar di sekolah menengah di Lubnan, tapi tidak layak untuk menduduki peperiksaan akhir tahun kerana tidak mempunyai permit visa selain memerlukan duit yang banyak untuk menanggung jumlah bayaran dikenakan“, katanya yang bercita-cita sebagai ahli farmasi.

Bagi adiknya pula, Maryam berkata setiap hari dia mengajar Al-Quran secara percuma kepada kanak-kanak pelarian Syria yang lain dan usaha itu membuahkan hasil apabila ada dalam kalangan mereka berjaya menghafaz beberapa juz Al-Quran.

“Saya melihat jika ada ramai guru dan mempunyai persekitaran pembelajaran yang selesa, lebih ramai anak-anak Syria berminat untuk belajar, mereka semakin dahagakan ilmu“, katanya.

Pengurus Union of Relief and Development Associations (URDA) iaitu agensi penyelaras bantuan bagi pelarian Syria, Omar Janoun berkata sebanyak 70% daripada 400,000 kanak-kanak pelarian Syria di Lubnan masih tercicir daripada mendapatkan pendidikan sempurna dan hanya 3% berjaya ke universiti.

“Jurang ketinggalan agak besar, kami masih memerlukan sumbangan untuk melaksanakan lebih banyak program pendidikan seperti sekolah di dalam bas, pembelajaran literasi dan numerasi serta tajaan bagi kanak-kanak cemerlang”, katanya.

BACA JUGA
Sekolah MAPIM ke-39, bantu ubah masa depan anak pelarian Syria

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button