DomestikEkonomiSemasa

Bekalan gandum Malaysia mencukupi

KUALA LUMPUR: Tindakan India menyekat eksport gandum tidak menjejaskan Malaysia berikutan negara bergantung 80 peratus biji gandum dari Australia dan selebihnya dari Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Ukraine.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), susulan gelombang haba yang berlaku disebabkan cuaca panas terik, India melarang eksport gandum namun ia tidak menjejaskan bekalan gandum negara.

“Bekalan tepung gandum negara tidak terkesan. Malaysia mengimport 80 peratus biji gandum dari Australia dan selebihnya dari AS, Kanada dan Ukraine.

“Justeru, larangan India mengeksport gandum susulan gelombang haba akibat cuaca panas terik tidak menjejaskan bekalan gandum negara,” menurut kementerian tersebut menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Seramai 2,200 anggota penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan bekalan tepung bersubsidi dan tidak bersubsidi stabil di pasaran, jelas kementerian tersebut.

Selepas mendapati ada peniaga sengaja menyorokkan bekalan minyak masak serta tepung gandum bersubsidi, KPDNHEP melakukan serbuan terhadap premis perniagaan di beberapa negeri.

India telah mengumumkan larangan eksport gandum berkuat kuasa serta-merta pada Sabtu lalu, apabila gelombang haba berlaku disebabkan cuaca panas terik yang menjejaskan hasil tanaman dan harga tempatan mencecah rekod paras tertinggi.

Harga global tepung gandum dilaporkan meningkat secara mendadak selepas sekatan itu, dengan harga penanda aras komoditi itu melonjak sebanyak 5.9 peratus di Chicago selain kenaikan turut dirasai di banyak lagi negara.

Berdasarkan tinjauan terhadap peniaga di Malaysia, harga bagi bekalan gandum  yang tidak bersubsidi menyaksikan peningkatan mendadak terutama ketika musim perayaan biarpun bekalan tepung gandum kekal stabil.

Kesan kenaikan harga gandum tersebut menyebabkan berlaku kenaikan harga bagi rantaian bekalan makanan yang menggunakan tepung sebagai bahan asasnya.

Kerajaan memaklumkan sebelum ini, kenaikan harga sukar dikawal terhadap makanan import termasuk gandum memandangkan faktor kenaikan bukan ditentukan oleh Malaysia, sebaliknya negara pembekal.

Perang Ukraine – Russia juga mengakibatkan gangguan kepada bekalan gandum dunia memandangkan Ukraine dan Russia adalah antara negara pengeluaran gandum utama dunia.

-Agensi

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button