KUALA LUMPUR: Pembakaran Al-Quran oleh kumpulan pelampau di Copenhagen, Denmark pada bulan suci Ramadan adalah tindakan keji dan tidak boleh diterima serta melanggar prinsip asas hormat, toleransi dan kebebasan bersuara.
Menurut anggota ‘Muslim Council of Elders’, Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri tindakan sedemikian menyemarakkan kebencian dan perpecahan dan tidak mempunyai tempat dalam mana-mana masyarakat bertamadun.
“Bagi berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia, Al-Quran adalah kitab suci, dan membakarnya adalah penghinaan yang terang-terangan terhadap iman dan kepercayaan mereka. Tingkah laku tidak hormat seperti ini bukan sahaja mencalarkan sentimen agama tetapi juga menggalakkan ekstremisme dan ketaksuban, yang merupakan ancaman kepada fabrik sosial mana-mana negara,” tulis beliau dalam satu kenyataan di media sosial.
Tambah beliau lagi, kebebasan bersuara adalah hak asasi, tetapi ia tidak termasuk hak untuk tidak menghormati atau menghina.
Beliau mengulas tindakan ‘serangan KEJI’ sekumpulan orang pada Jumaat yang mencemarkan kitab suci Al-Quran dan bendera Turkiye di Denmark.
Insiden itu yang dilakukan semasa bulan suci Ramadan, mendedahkan bahawa Islamofobia, diskriminasi dan xenofobia telah berada pada tahap yang membimbangkan di Eropah.
BACA JUGA