Amaran ribut petir, hujan lebat di Selangor dan negeri lain hingga 8 malam
SHAH ALAM : Beberapa negeri termasuk Selangor dijangka akan dilanda ribut petir dan hujan lebat sehingga 8 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran di Facebook memberitahu Perlis dan Kuala Lumpur selain tiga daerah di negeri ini iaitu Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat selain diramal mengalami keadaan tersebut.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kedah meliputi Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan), Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim) serta Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang).
Manakala Terengganu membabitkan Besut, Setiu dan Hulu Terengganu; Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Kuantan dan Rompin) diikuti Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.