Semasa

Kerjasama dengan komuniti tinggal berdekatan habitat Harimau Malaya

Usaha pemuliharaan biodiversiti kelangsungan hidup Harimau Malaya

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru semua pihak agar bekerjasama dengan komuniti yang tinggal berdekatan dengan habitat Harimau Malaya.

Baginda bertitah komuniti itu bukan sekadar pihak berkepentingan, tetapi juga rakan kongsi penting dalam usaha pemuliharaan, di samping mereka juga ‘berkongsi’ tempat tinggal dengan haiwan liar itu, justeru kerjasama dan sokongan masyarakat itu amat diperlukan.

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pemangku Raja Pahang

“Dengan mengiktiraf hubungan mendalam mereka dengan tanah dan hidupan liar, kita perlu memupuk kerjasama lebih kukuh dengan mereka, perkasa mereka untuk menjadi juara kepada kelangsungan hidup Harimau Malaya, juga sebagai penjaga dan rakan dalam usaha pemuliharaan biodiversiti“.

“Dengan menyediakan alternatif mata pencarian lestari kepada mereka dan menggalakkan pendidikan dan kesedaran, kita boleh pastikan masa hadapan Harimau Malaya terjalin dengan kesejahteraan komuniti ini,” titah baginda dipetik BERNAMA pada majlis penutup Sidang Kemuncak Harimau Pahang Pertama pada Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Rosli Isa dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Johari Harun.

Tengku Hassanal turut mengundang semua pihak dengan keupayaan dan sumber alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) supaya mengambil bahagian dalam melindungi Harimau Malaya kerana kerjasama itu penting memandangkan tiada satu pun organisasi atau kerajaan yang dapat menjayakan tugas itu seorang diri.

“Kerajaan saya tidak sabar-sabar untuk menerima cadangan ESG dan pemuliharaan dengan tangan terbuka. Pemuliharaan bukan tanggungjawab satu entiti tetapi memerlukan barisan yang bersatu,” titah baginda sambil menggesa perkongsian sumber dan kepakaran untuk membangunkan strategi bagi menangani cabaran yang kompleks.

Sementara itu, Tengku Hassanal menggalakkan kerajaan, organisasi antarabangsa dan entiti swasta untuk mengkaji semula pelaburan mereka dalam pemuliharaan harimau serta bersama-sama memanfaatkan mekanisme pembiayaan yang inovatif dan meneroka kerjasama awam-swasta yang menjamin sokongan kewangan yang mampan dan jangka panjang untuk inisiatif pemuliharaan.

Tengku Hassanal turut menekankan usaha penguatkuasaan untuk melindungi hidupan liar dan meneroka potensi kecerdasan buatan, imejan satelit dan teknologi penderiaan jauh bagi meningkatkan keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan.

BACA JUGA
Misi Ramadan MAPIM Rangers: Ramadan bermakna buat masyarakat Orang Asli di Pahang

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button