Covid19Semasa

“Alhamdulillah, dah tak jarak macam dulu”

KUALA LUMPUR : Virus Covid-19 yang menyerang hampir ke seluruh dunia sejak 2020 telah memaksa pihak berkuasa melaksanakan peraturan yang menyekat pergerakan harian manusia.

Pihak kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) kepada rakyat demi mengekang penyebaran virus tersebut.

Tidak terlepas juga buat tempat ibadat surau dan masjid, SOP ketika itu memerintahkan bahawa jemaah harus menunaikan solat dengan jarak dan membawa sejadah sendiri.

Malah ada syarat-syarat tertentu seperti keperluan untuk mendapatkan vaksin sebagai ‘pas’ masuk ke masjid dan surau, dan sekiranya penuh, ada jemaah yang tidak dibenarkan masuk dan disuruh pulang.

Namun, pada bulan Ramadan tahun ini ternyata berbeza buat seluruh umat Islam di seluruh negara sebaik mendapat khabar berita bahawa tidak perlu lagi penjarakan fizikal untuk solat berjemaah.

Menurut tinjauan wartawan Ummah Today, para jemaah di Surau At-Taqwa rata-ratanya memanjatkan rasa syukur dan menggunakan peluang ini sebaiknya untuk mengimarahkan masjid dan surau seperti sedia kala.

Menurut imam surau tersebut, Abdul Halim Syakir, beliau rasa terharu kerana setelah hampir tiga tahun solat secara berjarak, akhirnya kita kembali boleh beribadah dengan pahala yang secukupnya berbanding sebelum ini seolah-olah hilang pahala saf.

“Alhamdulillah. Kalau ikutkan sunnah perlu rapat walaupun tidak rapat bahu ke bahu tetapi kita rapat secara sejarah ke sejadah ada jarak dalam satu kaki tetapi alhamdullilah tak jarak macam dahulu.

”Tapi dari segi kerisauan, kita kena faham penyakit itu memang ada dan jangkitan itu berlaku dengan izin Allah, percaya lahh dengan Qada’ dan Qadar Allah, kalau Allah tentukan kita sihat in sha Allah kita akan sihat,” katanya ketika ditemu bual Ummah Today.

Dalam pada itu, walaupun ada segelintir yang mempertikaikan langkah pihak berkuasa untuk mengenakan peraturan seperti itu, pada pendapat Imam Abdul Halil ia merupakan tanggungjawab kerajaan bagi memastikan keselamatan rakyat terjaga.

“Setiap penyakit itu datangnya dari Allah, walau bagaimanapun nabi pesan pada kita untuk mengelakkan dari terjerumus dengan wabak penyakit, patuh SOP in sha Allah kita akan jaga diri kita.

“Ini tanggungjawab kerajaan untuk menjaga keselamatan rakyat. Awalnya penjarakan ialah 1.5 meter kemudian dikurangkan kepada 1 meter, dan selepas itu apa bila masuk fasa endemik ia dirapatkan dengan sejadah, dan mudah-mudahan in sha Allah kita akan rapatkan dari bahu ke bahu,” menurutnya lagi.

Oleh Wartawan Pelatih, Izzul Nazaruddin

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button