Covid19EkonomiSemasa

Perintah gaji minimun dikaji semula – Muhyiddin

Inisiatif kerajaan tingkatkan ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang giat mengkaji semula perintah gaji minimum 2020, bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosioekonomi semasa.

Merujuk pada kenyataan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, kerajaan sentiasa peka terhadap isu gaji minimum dan tidak menafikan walaupun pelbagai bantuan disediakan, masih terdapat golongan pekerja yang terjejas dan mengambil masa lebih lama untuk merasai kehidupan seperti sediakala sebelum wujudnya COVID-19.

“Saya berharap dan meminta semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu ini mengambil bahagian dalam platform yang disediakan,” katanya ketika menyampaikan amanat khas sempena Hari Pekerja bertemakan Pembudayaan Norma Baru Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat, hari ini.” -Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin

Muhyiddin juga berkata, kerajaan dalam proses menambah baik dan meminda undang-undang perburuhan contohnya Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop pemakaian kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti paternity selama tiga hari.

Menurut beliau, budaya kerja akan dirangkum semula dengan pelaksanaan kehidupan yang lebih seimbang (work life balance) melalui pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan terus berusaha meningkatkan daya keboleh pasaran bagi memberi banyak peluang untuk tenaga kerja baharu.

Tambah beliau, walaupun banyak institusi latihan terpaksa ditutup berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian tetap diteruskan dan program latihan secara modular dan micro credentials diperluaskan.

Perdana Menteri turut mengulas, pelbagai inisiatif juga diambil kerajaan dalam memastikan rakyat mempunyai peluang pekerjaan luas antaranya menyediakan perkhidmatan pekerjaan dan pemadanan kerja melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara (MYFutureJobs), UpskillMalaysia, HRDF Placement Centre (HPC) dan karnival pekerjaan secara bersasar.

Sumber : Laman rasmi Facebook Kementerian Sumber Manusia

Antara inisiatif diperkenalkan ialah menerusi program Program Kerja Jangka Pendek (MySTEP). Sehingga 16 April lalu, seramai 30,377 orang sudah pun berjaya mendapat pekerjaan melalui program MySTEP.

Sumber : BERNAMA

Daripada jumlah ini, seramai 27,503 pemohon ditempatkan di sektor awam manakala 2,874 orang pula ditempatkan bersama GLC dan rakan rakan strategiknya.

Perdana Menteri turut menjelaskan inisiatif disasar akan mengurangkan jumlah pengangguran, khususnya di kalangan lepasan universiti.

Sebagai satu daripada usaha pendigitalan kerajaan, Muhyiddin berkata, hab e-pembelajaran baharu yang dikenali sebagai e-LATiH sudah dibangunkan untuk membolehkan rakyat mengakses secara percuma lebih 300 modul latihan pengembangan kemahiran yang disediakan berdasarkan keperluan industri.

“Kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan memperkenalkan Dasar Pinjaman Boleh Ubah Program Pinjaman Latihan Kemahiran bagi peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia sejajar hasrat kerajaan untuk meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam negara selain mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing,” -Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin

Selaras dengan sambutan Hari Pekerja tahun ini, Muhyiddin yakin rakyat khususnya warga pekerja akan kekal berdaya tahan dan saling memperkukuh dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Perdana Menteri turut menyeru peranan masyarakat menjalankan strategik dalam membangunkan ekonomi negara selama ini adalah sangat penting dan dihargai kerajaan.

“Marilah kita teruskan usaha kita bersama untuk masa depan Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera.” – BH

Related Articles

Back to top button