Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah pemergian Mufti Perak
Allahyarham banyak menyumbang dalam perkembangan syiar Islam
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan, Sahibus Samahah Tan Sri Dr. Harussani Zakaria, yang telah kembali ke Rahmatullah pada petang hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua menyanjung tinggi dan amat menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan sumbangan Allahyarham dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam,” – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
Mufti Perak, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Harussani Hj. Zakaria menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada pukul 2.45 petang tadi.
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar