DuniaKemanusiaanPalestinSemasa

Mengimbas 70 tahun kesengsaraan Palestin dalam siri peperangan dengan Israel

Israel tidak mampu berperang lebih lama dari sebulan

“Bagi rakyat Palestin, sudah 70 tahun mereka menghadapi kesengsaraan, kematian itu adalah satu kebiasaan pada mereka, namun ia bukanlah satu kebiasaan kepada Israel.”

Itulah ungkapan yang disampaikan oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL yang juga Penganalisis Rantau Timur Tengah, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman bagi menerangkan situasi peperangan antara pejuang Hamas dan rejim Israel.

Beliau yang ditemui secara eksklusif kepada wartawan UMMAHToday, Hafeez Anuar, beliau mengimbas kembali sejarah konflik antara Arab dan Israel yang sudah berperang sejak berpuluh-puluh tahun lamanya bermula dengan Perang Sinai yang berlaku pada tahun 1956.

Perang Sinai (29 Oktober 1956 – 6 November 1956)

Tentera Perancis dan tawanan perang Mesir semasa Krisis Suez 1956 – BBC

Krisis Suez, yang juga dikenali sebagai Serangan Tiga Pihak ataupun Perang Sinai, adalah satu serangan ketenteraan ke atas Mesir oleh Britain, Perancis, dan Israel yang bermula pada 29 Oktober 1956 sehingga 6 November 1956. Serangan dilakukan berikutan keputusan Mesir pada 26 Julai 1956 untuk memilik-negarakan Terusan Suez selepas penarikan balik tawaran oleh Britain dan Amerika Syarikat bagi membiayai pembinaan Empangan Aswan.

Laluan masuk ke Terusan Suez – National Army Museum

Israel merupakan pihak yang menang tetapi dengan campur tangan Presiden Amerika Syarikat  pada ketika itu, Dwight D. Eisenhower, ia menyebabkan Israel berundur dari kawasan yang ditakluki. Pada 1948, pemerintahan Britain di Palestin telah tamat, angkatan tentera Britain berundur dari Palestin dan Israel telah mengistiharkan kemerdekaan di kawasan yang dibahagikan oleh UNSCOP (Jawatankuasa Khas PBB ke atas Palestin) untuk negara Yahudi.

Perang Enam Hari (5 Jun 1967- 10 Jun 1967)

Tentera Israel bersiap sedia untuk berperang – History Of Yesterday

Perang Enam Hari berlaku pada 5 dan 10 Jun 1967 antara Israel dan Jordan, Syria, dan Mesir. Pada 5 Jun, Israel melancarkan serangan udara ke lapangan terbang Mesir, yang pada awalnya mendakwa bahawa ia Mesir yang memulakan serangan terlebih dahulu. Persoalan pihak mana yang mencetuskan peperangan adalah salah satu kontroversi yang berkaitan dengan konflik tersebut.

Peperangan ini mengakibatkan seluruh Semenanjung Sinai serta Tebing Barat Jordan jatuh ke tangan Israel yang berlaku selama enam hari sahaja. Mesir dan Jordan akhirnya bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata pada 8 Jun, dan diikuti Syria pada 9 Jun, gencatan senjata ditandatangani dengan Israel pada 11 Jun.

Tentera Israel selepas menang Perang Enam Hari 1967 – Getty Images

Selepas perang, Israel telah melumpuhkan tentera Mesir, Syria dan Yordania, telah membunuh lebih dari 20.000 tentera sementara kehilangan kurang dari 1.000 pasukannya. Kejayaan Israel adalah hasil strategi yang disusun dan digubal, kepemimpinan negara-negara Arab yang lemah, dan kepemimpinan dan strategi ketenteraan mereka yang lemah.

Perang Ramadan (6 Oktober 1973 – 25 Oktober 1973)

Bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat merancang strategi dalam Perang Ramadan 1973

Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Perperangan Arab-Israel 1973, dan Perang Ramadan, berlaku dari 6 Oktober sehingga 24 Oktober 1973 antara Israel dengan pakatan Mesir dan Syria. Presiden Gamal Abdel Nasser dari Mesir meninggal dunia pada bulan September 1970 dan digantikan oleh Anwar Sadat yang dianggap lebih sederhana dan realistik berbanding Nasser.

Walau bagaimanapun, bagi mengimbangi ancaman dalaman kepada kuasanya dan memperkukuh imejnya di kalangan dunia Arab, Sadat bertekad untuk melawan Israel dan memenangi kembali kawasan yang hilang pada tahun 1967. Rancangan menyerang Israel bersama dengan Syria dirujuk sebagai Operasi Badr atau dikenali sebagai operasi “bulan penuh”.

Tentera pejuang Islam meraikan kemanangan merampas kembali Terusan Suez dari taklukan Israel.

Tentera Sadat melancarkan serangan mengejut pada hari perayaan Yahudi Yom dan menyebabkan kemusnahan teruk pada tentera Israel. Selepas tiga minggu berperang dan selepas dibekalkan persenjataan oleh tentera udara Amerika Syarikat, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengundurkan tentera Arab melebihi sempadan asal.

Perang Lebanon (12 Julai 2006 – 14 Ogos 2006)

Perang Lubnan 2006 juga dikenali sebagai Perang Israel-Hezbollah 2006 adalah satu konflik bersenjata selama 34 hari di Lubnan dan utara Israel antara pejuang Hezbollah dan tentera Israel. Konflik bermula pada 12 Julai 2006, dan berlanjutan sehingga satu gencatan senjata yang oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu berkuatkuasa pada pagi 14 Ogos 2006, meskipun ia secara rasminya berakhir pada 8 September 2006 apabila Israel menarik balik sekatan laut ke atas Lubnan.

Israel cuba mengalahkan Hezbollah di selatan Lubnan. Pada awalnya kemenangan adalah memihak kepada Israel, tetapi di penghujung Israel mengalami kekalahan memalukan apabila Hezbolla berjaya menimpakan kerugian dan kekalahan kepada Israel apabila pendekatan yang bersifat psikologi memberi tekanan kepada mereka.

Pejuang Hizbullah membawa bendera Hezbollah (atas) dan Lubnan di kawasan Jaroud Arsal di Lebanon – New York Times

Hezbolla melakukan serangan secara hendap dan memasang jerangkap samar. Mereka turut merakamkan peristiwa gambaran bagaimana tantara Israel lari dari peperangan, mengalami kecederaan yang teruk akibat terkena bom lalu ditayangkan dalam TV Al-Manar. Tindakan ini amat memalukan pihak Israel dan akhirnya mereka terpaksa bersetuju untuk melakukan gencatan senjata.

Konflik Israel-Gaza (27 Disember 2008 – 18 Januari 2009)

Salah sebuah bangunan dibom ketika konflik Gaza-Israel di Semenanjung Gaza pada 2008 – Middle East Monitor

Perang Gaza, atau dikenali sebagai Operasi Pemimpin Utama dan dirujuk sebagai Perang Al-Furqan (Perang Pemisahan) oleh Hamas, ialah konflik bersenjata tiga minggu antara kumpulan pembebasan Palestin di Genting Gaza dengan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) yang bermula pada 27 Disember 2008 dan berakhir pada 18 Januari 2009 dengan gencatan senjata.

Konflik bermula apabila pada 27 Disember 2008, Israel telah melancarkan satu siri serangan udara oleh Pasukan Pertahanan Israel. Operasi ini disasarkan kepada rakyat dan infrastruktur Hamas.

Keadaan sewaktu serangan peluru berpandu Israel di Semenanjung Gaza ketika Konflik Gaza-Israel 2008 – AP

Pada Jun 2008, satu perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel anjuran Mesir berjaya ditandatangani. Tetapi Israel memungkirinya dengan menyadakan sekatan semula di pintu masuk dari Israel ke Semenanjung Gaza. Oleh itu warga Palestin di Semenanjung Gaza tidak mendapat bekalan makanan dan fasiliti lain seperti bahan api, bekalan elektrik, air, ubat dan pelbagai barangan lain.

Pada 13 Disember 2008, Israel mengumumkan akan memanjangkan gencatan senjata hanya jika Hamas patuh kepada syarat-syarat lama dan syarat terbarunya. Hamas menyalahkan Israel kerana menamatkan genjata senjata sebelum ini dengan membuat sekatan di pintu masuk dan rakyat Palestin terpaksa membina terowong-terowong untuk ke seberang tembok sempadan.

Konflik Israel-Gaza 2014 (8 Julai 2014 – 26 Ogos 2014)

Sekurang-kurangnya 18,000 rumah di Gaza musnah dalam Perang Israel-Gaza 2014 – BBC

Pada 8 Julai 2014, Pasukan Pertahanan Israel melancarkan “Operasi Perlindungan Sempadan” di Semenanjung Gaza. Sesudah itu, tujuh minggu serangan udara Israel dan serangan balas roket Hamas, serta pertempuran akibat serangan darat menyebabkan lebih 2,100 orang terbunuh, kebanyakan mereka adalah orang awam Palestin.

Tujuan operasi Israel dilaksanakan adalah untuk menghentikan serangan roket dari Gaza ke Israel, yang ditembak akibat tindakan kejam Israel terhadap Hamas di Tebing Barat. Hamas bertindak balas terhadap serangan udara Israel pada 6 Julai yang membunuh tujuh anggotanya di Khan Yunis. Pada 17 Julai, operasi itu diperluas kepada serangan darat dengan tujuan memusnahkan sistem terowong Gaza. Pada 26 Ogos, akhirnya mereka bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata.

Menurut ramalan Prof. Redzuan, jika melihat kembali peristiwa perang terdahulu antara Gaza dan Israel, Israel hanya mampu berperang dan bertahan sehingga sebulan sahaja. Ini kerana rakyat Israel hidup dalam keadaan mewah dan selesa. Mereka tidak mampu untuk berdepan dengan suasana perang.

Maka dengan itu, tepatlah ramalan bahawa peperangan antara pejuang Hamas dan rejim Israel baru-baru ini hanya mampu bertahan kurang dari sebulan. Pada 21 Mei lepas, Hamas dan tentera Israel bersetuju mengadakan gencatan senjata, sekaligus menyaksikan pertempuran yang berlangsung selama 11 hari itu berakhir.

“Masyarakat di seluruh dunia melihat perkara ini sebagai satu isu yang bersifat kemanusiaan, bukan keagamaan. Banyak negara yang menunjukkan sokongan mereka terhadap Palestin dan mahukan mereka bebas. Ini memberikan tekanan keadaan kepada Israel apabila banyak video yang tular di media sosial yang menunjukkan kekejaman mereka ke atas rakyat Palestin, justeru memarakkan lagi api kebencian masyarakat dari seluruh dunia terhadap mereka,” –  Penganalisis Rantau Timur Tengah / Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman.

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Kewartawanan) – Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button