KABUL : Kira-kira dua juta ibu tunggal dan 1.5 juta anak yatim di Afghanistan sedang menantikan bantuan kemanusiaan antarabangsa.
Menurut Menteri Syuhadah dan Orang Kurang Upaya Afghanistan, Abdul Majeed Akhund, peperangan yang berlaku di negara itu membuatkan ramai wanita menjadi ibu tunggal selain cacat akibat letupan atau ditembak.
Berdasarkan laporan Bernama, kebanyakan rakyat Afghanistan menjadi buta, hilang kaki dan hilang upaya akibat serangan oleh tentera luar.
Dilaporkan, setakat ini 150,000 penduduk Afghanistan cacat akibat kesan peperangan dan mendaftar di bawah kementerian tersebut.
Ujar Majeed, hospital di Afghanistan meliputi 34 wilayah berdepan masalah dana, ubat-ubatan, alatan surgeri dan pakar membuat anggota tubuh palsu atau prostesis.
“Sebarang bentuk bantuan dan sokongan amat dialu-alukan,” katanya.
Merujuk pada laporan Insider, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres berkata Afghanistan kini berada dalam krisis kemanusiaan terbesar di dunia iaitu 8.7 juta orang berdepan kebuluran dalam tempoh musim sejuk.
Selain itu, 3.2 juta kanak-kanak dijangka mengalami kekurangan zat makanan akut di Afghanistan menjelang akhir tahun ini.
Oleh Nurshazlin Shahrom