Covid19DuniaSemasa

COVID-19: Thailand bakal lancar alat semburan hidung bantu cegah virus

BANGKOK: Alat Semburan hidung buatan Thailand, jangka melancarkan pada suku ketiga tahun ini bagi tujuan membantu mencegah COVID-19.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar, Natapanu Nopakun, berkata alat itu dibangunkan hasil kerjasama Universiti Chulalongkorn, Universiti Silpakorn, Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (HSRI), Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) dan sebuah syarikat biosains swasta.

Beliau berkata, sejak pandemik melanda dua tahun lalu, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) alat itu sudah dimulakan dengan dibiayai sektor perniagaan dan HSRI yang dikendalikan kerajaan.

Prototaip antibodi untuk alat itu sudah pun diperoleh dan seterusnya akan dipatenkan.

“Kini, teknologi itu telah dipindahkan ke sektor swasta. Penyelidikan klinikal telah dijalankan untuk memenuhi piawaian yang diperlukan untuk pendaftaran dengan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) negara pada Jun.

“Alat itu dijangka tersedia untuk dijual pada suku ketiga tahun ini,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini, semalam.

Natapnu berkata, perjanjian kerjasama telah dimeterai untuk mengeluarkan semburan hidung anti-COVID-19 dan ia tertakluk untuk penyelidikan global.

Minggu lalu, timbalan jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek, berkata lebih 20 vaksin COVID-19 sudah pun dikaji dan dibangunkan oleh agensi negeri, universiti dan syarikat sejak pandemik bermula.

Beliau berkata, empat vaksin COVID-19 yang dibangunkan secara tempatan dan alat semburan hidung akan didaftarkan dengan FDA Thailand tidak lama lagi. – BERNAMA

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button