Kemanusiaan

Dapat bantuan baju sekolah, ringanlah sedikit perbelanjaan naik sekolah

150 asnaf, terjejas Covid-19 terima set lengkap persekolahan

KUALA LUMPUR :  “Dengan bantuan ini  saya fokus pula kepada buku sekolah anak-anak, saya pun sudah hilang kerja!”

“Bolehlah kurangkan perbelanjaan sekolah anak-anak saya”

–  itulah keluhan rasa hati beberapa ibu bapa anak-anak penerima bantuan Back to School 2.0 MAPIM.

Kisah itu adalah antara sebahagian kisah masyarakat Malaysia dan Kuala Lumpur amnya, yang merasai kesan yang ditinggalkan pandemik Covid-19 yang merenggut kebanyakan sektor ekonomi.

Menyedari akan ramainya golongan ibu bapa yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM Malaysia meneruskan program Back to School 2.0 untuk tahun ini.

Atas rasa keprihatinan itu, seramai 150 orang asnaf disantuni dengan pemberian kelengkapan  untuk persediaan musim persekolahan bulan hadapan, demi mengurangkan sedikit bebanan penjaga dengan sesi persekolahan yang akan bermula.

Bertempat di Jakel Mall, Kuala Lumpur, semua penerima yang sedia didaftarkan, diminta hadir bagi tujuan sesi pemadanan saiz uniform sekolah.

Pengarah Domestik MAPIM Malaysia Tuan Haji Muhammad Faris Hussain berkata program ini adalah program berterusan MAPIM dari tahun lalu.

“Namun bagi kali ini ada sedikit perbezaan kerana dari sudut penerima yang dikategorikan sebagai terjejas pendapatan selepas wabak Covid-19, menyebabkan sebanyak 3,000 permohonan diterima kali ini, bagaimanapun MAPIM hanya mempunyai kapasiti sebanyak 300 yang perlu dibantu.’’

Tambah beliau, permintaan yang tinggi itu adalah disebabkan ramai golongan ibu bapa yang terjejas seperti yang hilang pekerjaaan apatah lagi golongan asnaf sedia ada.

Program Back to School M2.0 MAPIM ini katanya  diadakan di dua tempat di Kuala Lumpur pada hari ini, manakala untuk negeri Selangor pada 9 Januari 2021 nanti.

Peruntukan disediakan MAPIM bagi setiap penerima ialah sebanyak RM150 seorang.

“Bagi program ini peruntukan MAPIM bagi seorang penerima ialah RM150 jadi bagi kesemua 300 orang penerima, sebanyak RM45,000 untuk kos Back to School 2.0 ini’’.

Dalam suasana masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini, pembahagian kepada penerima dilakukan dengan pematuhan SOP.

“Kami pecahkan senarai penerima dalam empat kumpulan kecil supaya penjarakan sosial diadakan, malah mempermudah proses pengagihan dilakukan dengan lebih lancar’’.

Menurutnya lagi bagi program BTS 2.0 di Kuala Lumpur ini MAPIM Malaysia mendapat kerjasama penajaan daripada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, MAIWP.

Sementara itu, menurut Penolong Pengarah Hal Ehwal Bahagian Baitul Mal, MAIWP, Muhammad Ishak Zulkifli, permohonan diterima daripada pihak MAPIM Malaysia bagi menjayakan program Back to School ini.

Sehubungan itu, katanya sejumlah RM15,000 bantuan telah disalurkan MAIWP kepada MAPIM dalam program ini kepada asnaf dan golongan yang terjejas akibat kesan pandemik Covid-19.

“MAIWP sentiasa memberi bantuan dan menyokong secara penuh kepada mana-mana NGO yang menjayakan program bagi mereka yang memerlukan khususnya di Wilayah Persekutuan’’.

Tambah Muhammad Ishak, MAIWP sentiasa membuka ruang kepada mana-mana NGO dan NGI di luar yang melaksanakan program dakwah dan kebajikan, sentiasa menyokong program yang mereka rancang.

Pada majlis hari ini seramai 150 asnaf di sekitar Kuala Lumpur menerima bantuan set persalinan uniform sekolah bagi setiap anak, sekolah rendah dan menengah serta sebuah beg sekolah.

         

Dalam pada itu, Tuan Haji Muhammad Faris turut menyatakan penghargaan yang tinggi kepada pihak lain yang bekerjasama dalam menjayakan program BTS ini, antaranya JAKEL yang menyediakan ruang untuk golongan penerima memilih baju dan peralatan sekolah buat anak-anak mereka.

“Sekiranya kami buat di luar sukar juga kerana maklum musim hujan, jadi dengan adanya ruang disediakan JAKEL Kuala Lumpur, beserta pekerja-pekerjanya untuk sama-sama membantu asnaf kami amat berbesar hati.’’

Qayyum Foundation pula yang diwakili oleh Ketua Gerakan Pemudnya, Mohd. Danial Harith, membekalkan pelindung muka untuk petugas dan pada program BTS akan datang bersedia menaja sejumlah anak asnaf.

Sayu hati apabila ada yang hadir membawa bayi mereka bersama, tidak kurang juga berkerusi roda.

Bagi penerima, Fadilah Zainal Abidin, seorang ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak termasuk seorang yang kurang upaya berbesar hati menerima sumbangan ini.

“Sejak PKP saya tidak bekerja dan mengambil upah menjahit baju, jadi dengan pemberian baju sekolah kepada anak-anak mengurangkan bebanan kami serba sedikit’’.

Hilang pekerjaan kerana penularan wabak Covid-19, Mohd Helmi Karim, 38, dalam nada sebak memanjatkan rasa syukurnya kerana sekurang-kurangnya, boleh memikirkan perbelanjaan untuk buku sekolah pula.

“Saya kata pada anak-anak kali ini, abah tidak dapat beri lebih seperti sebelumnya, baju mana yang ada pakai dulu jangan malu, yang penting kita sekolah, dan kini dapat bantuan ini saya boleh guna perbelanjaan untuk buku-buku mereka’’

Norhashimah Mohd Nazir, 35, yang pertama kali menerima bantuan, menganggap rezeki anak-anak dan mengurangkan beban bagi dirinya yang terjejas pendapatan akibat perniagaan kecil.

Semoga hati rakyat Malaysia terus mekar untuk ama-sama berkongsi kelebihan yang ada, untuk disalurkan kepada mereka yang amat memerlukan.

Misi Ummah Bantu Ummah
MAPIM Malaysia
____________________
2 KAEDAH UNTUK MENYUMBANG KE TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
____________________

MAPIM Malaysia menjemput sahabat penderma budiman untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan di dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300, RM500, RM3,000 & RM5,000 untuk bekalan bantuan makanan serta khidmat Ummah Mobile Clinic serta bantuan khidmat lain.

Sumbangan boleh dibuat melalui:
▶️www.bantuummah.com
▶️www.bantuummah.com
▶️www.bantuummah.com

atau

menerusi Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button