Perjanjian Malaysia peroleh vaksin batal, sekiranya langgar syarat
Tidak boleh perincikan harga beli, tertakluk syarat kerahsiaan
KUALA LUMPUR : Malaysia mungkin menghadapi risiko pembatalan perjanjian pembelian dan pemerolehan vaksin Covid-19, jika negara didapati melanggar syarat kerahsiaan yang ditetapkan oleh pengeluar vaksin.
Menjelaskan perkara ini, peguam, Wan Azmir Wan Majid, menyatakan sekiranya syarat kerahsiaan atau perjanjian kerahsiaan (NDA) adalah cadangan pengeluar vaksin, negara tidak mempunyai pilihan selain mematuhi syarat tersebut.
Beliau menyatakan jika terjadi pelanggaran syarat yang ditetapkan, pihak yang melanggarnya boleh dikenakan tindakan dan perjanjian utama (perjanjian pembelian vaksin) akan dibatalkan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa kerajaan juga menghadapi risiko lain termasuk disaman oleh pengeluar vaksin jika didapati melanggar syarat.
Oleh itu, beliau menasihatkan agar difahami bahawa ada perkara yang boleh didedahkan kepada umum dan ada yang perlu dirahsiakan mengikut syarat-syarat perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang terlibat.
Pada sidang media mengenai pengembangan pemerolehan vaksin Covid-19 di Putrajaya hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengatakan bahawa dia bersedia memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) mengenai pemerolehan vaksin Covid-19 termasuk kosnya secara terperinci.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ahli jawatankuasa mesti mematuhi syarat kerahsiaan yang ditetapkan oleh pengeluar vaksin kerana Malaysia tertakluk kepada syarat kerahsiaan yang ditetapkan oleh syarikat terbabit.