SINGAPURA: Buat pertama kalinya sejak bulan Mac, peminat bola sepak di Singapura dibenarkan menyaksikan perlawanan sukan itu di padang secara fizikal.
Perlawanan bola sepak Liga Perdana Singapura (SPL) bakal dihadiri penonton hari ini, menyaksikan pertemuan penutup musim di antara pasukan Tampines Rovers dan Geylang International FC di Hab Tampines Kita.
Seramai hanya 200 orang penonton dibenarkan masuk ke stadium sebagai satu ujian perintis.
Namun semua penonton perlu menjalani ujian pantas antigen sebelum memasuki stadium.
Sejak permulaan musim Liga Perdana Singapura sudah melaksanakan pelbagai penyesuaian termasuk menggantung tujuh bulan perlawanan.
Kemudian perlawanan dibenarkan tanpa kehadiran penonton, sehinggalah kepada terpaksa mengurangkan jumlah perlawanan buat musim ini.
Sehubungan itu pelaksanaan terbaru berkenaan adalah penyesuaian SPL ke arah norma baru.
Selepas ujian antigen dilakukan, penonton berdaftar akan dibawa ke kawasan menunggu.
Setiap ujian akan mengambil masa sekitar 20 minit untuk diproses.
Sekiranya hasil ujian mereka negatif, mereka akan diberikan tag gelang tangan sebagai pengesahan untuk masuk ke stadium.
Setiausaha Am Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Encik Yazeen Buhari berkata, FAS berasa yakin percubaan pada 5 Disem itu dan berharap akan menjadi satu petanda aras yang boleh diikuti pada perlawanan lain.
“Saya rasa ada tahap keyakinannya selepas hari ini, dengan semua langkah berjaga-jaga yang dilaksanakan dan tiada kes positif terutama sekali daripada ujian-ujian hari ini. Saya rasa ia meletakkan kita dalam kedudukan baik menjelang musim tahun depan dengan aturan yang serupa.” – FAS
Rata-rata peminat bola sepak gembira walau di peringkat akhir, mereka dapat juga menyaksikan perlawanan bola sepak di depan mata.
Semestinya, ramai penonton yang mengalu-alukan langkah itu, meskipun di akhir musim liga. Penyokong pasukan Tampines Rovers, Cik Suriani berkata: “Saya rasa gembira hari ini akhirnya dapat kembali ke stadium. Dari segi proses ujian, sangat lancar dan ikut aturan masa, teratur dan semua berjalan lancar. Baik sekali!” – Suriani
“Teruja dan gembira dapat kembali ke stadium bersama penyokong-penyokong Tampines, tapi jujurnya mencabar sebab perlu buat ujian swab”.- Rusyaidi
Tiga lagi perlawanan pusingan akhir musim diadakan secara serentak.
Pasukan Albirex Niigata menjadi juara bagi musim SPL tahun ini selepas mengalahkan pasukan Hougang United FC 1-0 di Stadium Jalan Besar.
Tampines Rovers mengakhiri musim di tangga kedua liga, selepas seri 1-1 menentang Geylang International FC.
- olahan -Muhammad Arshad Bin Azmi (pelatih UiTM)