Kotak bukan sebarang kotak…
Sudah manfaatkan 40,000 asnaf, tidak kira bangsa, agama, dalam dan luar negara
BANGI : “Ini MAPIM? Ya!
“Kami tidak ada bekalan makanan. Boleh hantar ke?”
“Sekejap ya, kami ambil alamat awak!”
Ini adalah sebahagian rutin kakitangan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, MAPIM Malaysia, ketika menerima panggilan daripada asnaf dan sesiapa yang memohon dirinya dibantu.
Benar, kata kakitangan MAPIM, ada kalanya tidak menang tangan melayani permintaan masyarakat namun MAPIM cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan mereka.
Kesan selepas pandemik Covid-19 paling ketara kerana saban hari ada sahaja yang menelefon talian 012 800 2016 MAPIM meminta dibantu.
Kerja-kerja kemanusiaan walau nampak mudah – setiap nama, alamat, latar belakang diri penerima perlu dicatat untuk rekod sekiranya bantuan susulan diperlukan.
Pek makanan khususnya, adalah bantuan terawal yang boleh diberikan MAPIM kepada asnaf yang layak, selain bantuan lain seperti bantuan urusan pemindahan rumah, pembersihan selepas banjir dan pelbagai lagi aktivis MAPIM turun padang baik di dalam dan di luar negara.
Turun naik tangga, dari satu apartment ke satu apartment – seolah alah bisa tegal biasa, buat aktivis seperti Lidiahayani Ariffin dan Mohamad Sidiq Solomon.
Baru-baru ini, suri rumah Shuhada Atika Mohsen, disantuni selepas suaminya kehilangan pekerjaan, penyampaian kotak bantuan diharap dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung keluarga itu.
Tidak kurang juga yang kurang upaya didekati seperti Encik Mat Noor Kassim yang sempat memohon maaf kepada aktivis kerana tidak sempat memakai baju, ketika dikunjungi akibat halangan pergerakannya.
Golongan yang mendapat perhatian ialah mereka yang kehilangan pekerjaan, OKU, ibu tunggal juga mereka yang berlainan bangsa yang memerlukan pertolongan.
Parida Dino adalah salah seorang penerima yang ditemui.
Menyatakan terima kasih, beliau bersyukur sekurang-kurangnya pek makanan ini membantu belanja dapur mereka dalam seminggu dua.
Penyerahan pek makanan MAPIM telah dilakukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan sejak Mac lalu.
Menurut Ketua Aktivis MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery, sehingga kini 40,000 pek makanan telah diedarkan ke seluruh negara.
Malah beliau yang kini sedang mengetuai misi musim sejuk pelarian Syria turut melepaskan 30 kontena berisi pelbagai keperluan kepada pelarian di sempadan Turki-Syria termasuklah kotak makanan barangan asas kepada golongan pelarian dalam negara Syria.
Tambah beliau bantuan serampang dua mata, di dalam dan luar negara oleh MAPIM berjalan serentak dan masyarakat di luar sana teruskan menyumbang dan menginfaqkan demi kelangsungan ummah.
“MAPIM menggandakan usaha di dalam dan luar negara membantu ummah yang memerlukan, tiada halangan untuk kami berbakti di saat masyarakat dunia sepi dengan nasib pelarian dengan keterbatasan pandemik di tahun cukup mencabar ini ” – (Dr.) Sani Araby Al Kahery
Malah yang terbaru, pek-pek makanan ini diagihkan sewaktu kepada penarik beca di Melaka yang terkesan sehingga mereka hilang mata pencarian membawa beca, akibat pelancong yang kurang bertandang.
Tanpa mengira latar belakang, usia dan bangsa – kotak makanan ini, walau kecil nilainya mungkin bagi sesetengah orang, tapi buat yang memerlukan, ia sudah cukup besar buat mereka.
MAPIM Malaysia juga berterima kasih kepada syarikat-syarikat penaja yang berkongsi sama, menggandakan pahala menyantuni asnaf, berkongsi dalam satu kotak yang amat bernilai harganya.
Begitulah sebuah kotak, yang berisi sembilan barangan – perjalanannya bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara, menjadi saksi derita, dan menyimpan pelbagai cerita penerima di mana pun misi kemanusiaan berada.
*Misi Ummah Bantu Ummah
MAPIM Malaysia
____________________
2 KAEDAH UNTUK MENYUMBANG KE TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
____________________
MAPIM Malaysia menjemput sahabat penderma budiman untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan di dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300, RM500, RM3,000 & RM5,000 untuk bekalan bantuan makanan serta khidmat Ummah Mobile Clinic serta bantuan khidmat lain.
Sumbangan boleh dibuat melalui:
▶️www.bantuummah.com
▶️www.bantuummah.com
▶️www.bantuummah.com
atau
menerusi Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066