Kerohanian

“Walaupun saya bukan muslim tapi pekerja wajib solat lima waktu”

'Haji Ghani' adakan solat hajat setiap tahun.

KOTA BHARU : Mewajibkan semua pekerjanya solat lima waktu dan menutup aurat bagi perempuan walaupun beliau bukanlah seorang Islam.

Peraturan itulah yang ditetapkan oleh pemilik Link Holders Packaging, Gan Leong Piow, 72, kepada semua 55 pekerjanya yang semuanya berbangsa Melayu dan beragama Islam walaupun ada permintaan daripada kaum lain.

Bukan sekadar menyuruh pekerjanya menjaga solat, lebih menakjubkan, Gan turut mengadakan solat hajat setiap tahun di kilangnya, yang terletak di Pengkalan Chepa.

Prinsip itulah yang dipegang oleh Gan sejak beliau mula berniaga 42 tahun lalu, masih sama seperti dahulu.

Haji Ghani ketika ditemuramah pic:gulapop

Gan yang mengusahakan syarikat pembungkusan minyak masak dan gula itu berkata, sejak 4 dekad yang lalu, sudah berazam hanya mengambil pekerja Melayu sahaja, bagi memastikan keselesaan pekerja supaya tidak bercampur.

‘Haji Ghani’ merupakan gelaran yang diberikan oleh rakan-rakannya selain kepetahannya menggunakan loghat Kelantan.

“Saya tauke cina, saya percaya tuhan. Pekerja paling mustahak wajib pergi solat. Saya akan tunggu.” – ‘Haji Ghani’

Menyifatkan kehidupannya sebati dengan orang Melayu kerana hampir kesemua rakannya juga Melayu, Gan berkata, sebarang pertolongan atau sumbangan yang dihulurkan tidak mengira kaum dan agama.

“Orang Islam datang jumpa saya untuk siapkan rumah, saya bantu. Orang minta sumbangan pembinaan masjid, saya hulur dan mereka yang meninggal dunia di Makkah beberapa tahun lalu akibat kren tumbang, saya juga bantu.

“Kenapa perlu saya bantu orang Cina sahaja sedangkan orang Melayu pun sama juga dengan kami. Apa yang membezakan kami hanya agama sahaja.

“Bagaimanapun tahun ini agak berbeza kerana tidak mampu mengadakan majlis solat hajat disebabkan COVID-19. Selalunya saya panggil imam dan budak tahfiz untuk program ini setiap tahun,” katanya yang syarikatnya turut dibantu isteri dan tiga anak.

Haji Ghani menunjukkan suasana di tempat kerja pic:gulapop

Beliau yang berasal dari Kampung Atas Paloh, mengakui sentiasa menjadi perhatian dalam kalangan orang ramai kerana sikapnya yang sentiasa memberi salam, namun tindakannya itu sudah sebati, bukannya semata-mata untuk menarik perhatian.

-Iman Nur Hakim bin Azrin (Pelatih Fakulti Animasi UiTM)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button