Hospital bersalin utama di bandar Rafah di selatan Gaza yang sesak telah berhenti menerima pesakit, kata Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).
UNFPA memberitahu agensi berita Reuters pada hari Rabu bahawa Hospital Bersalin al-Helal al-Emirati, telah mengendalikan kira-kira 85 daripada jumlah 180 kelahiran setiap hari di Gaza sebelum peningkatan pertempuran antara Hamas dan tentera israel di pinggir Rafah.
Kira-kira separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah bersesak-sesak ke Rafah selepas melarikan diri dari bahagian lain enklaf itu selama tujuh bulan perang.
israel telah mengancam serangan besar ke atas Rafah untuk mengalahkan ribuan pejuang Hamas yang dikatakan bersembunyi di sana. Kira-kira 10,000 penduduk Palestin telah meninggalkan Rafah sejak Isnin, kata seorang pegawai PBB untuk pelarian Palestin pada hari Rabu.
Hospital Emirati hanya mempunyai lima katil bersalin. Tetapi berikutan kemasukan besar-besaran orang ke Rafah yang bermula pada bulan Disember akibat serangan udara israel dan pertempuran lebih jauh ke utara, hospital itu menjadi tempat utama untuk wanita bersalin di Rafah, Dominic Allen, pegawai tertinggi UNFPA bagi wilayah Palestin yang diduduki, kata dalam wawancara dengan Reuters bulan lalu.
Hospital-hospital lain di bandar ini, seperti Hospital Abu Youssef al-Najjar, telah berbulan-bulan menerima kecederaan akibat peperangan dan mengarahkan wanita yang bersalin ke Emirati.
Tidak jelas di mana wanita di Rafah yang mahu bersalin di hospital boleh berbuat demikian.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia berharap Emirati tidak akan ditutup, pegawai tertinggi WHO untuk Gaza dan Tebing Barat, Richard Peeperkorn, kemudian memberitahu sidang akhbar.
Tetapi sejak perang yang semakin memuncak, beberapa orang wanita di Rafah mula pergi ke hospital di Rafah yang dikendalikan oleh badan amal termasuk Kor Perubatan Antarabangsa.
Perkhidmatan mudah alih
UNFPA juga baru-baru ini telah membawa masuk “perkhidmatan bersalin mudah alih” ke Rafah, walaupun beberapa peralatan agensi PBB sebelum minggu ini telah tersangkut di persimpangan sempadan dengan Mesir, tambahnya.
Seorang bidan Amerika yang kini menjadi sukarelawan di Emirati memberitahu Reuters pada petang Rabu bahawa pesakit baharu masih dimasukkan ke hospital tetapi semakin sedikit wanita yang tiba untuk bersalin sejak beberapa hari lalu.
Bridget Rochios, yang menjadi sukarelawan dengan badan amal perubatan Glia Project yang berpangkalan di Kanada, berkata kakitangan hospital terpaksa meninggalkan kerja awal atau tidak datang sama sekali untuk memindahkan keluarga mereka sejak Isnin, apabila israel memberitahu penduduk Palestin untuk mengosongkan sebahagian daripada Rafah.
“Kami juga kekurangan bekalan dan menjangkakan isu ini akan diburukkan lagi dengan penutupan sempadan Rafah,” katanya dalam mesej teks Whatsapp.
SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI