Covid19Semasa

`Drive thru’ suntik vaksin, Kem Sungai Besi jadi perintis

6 kem tentera seluruh negara

PETALING JAYA : Bukan bayar bil atau pesan makanan sahaja secara pandu lalu, vaksin pun sudah boleh disuntik secara pandu lalu.

Usaha kerajaan untuk mempercepat pemberian vaksin kepada rakyat diteruskan, terutama kepada barisan hadapan dan keluarga mereka. Atas usaha itu, sebanyak enam pusat sehenti bagi pemberian vaksin Covid-19 secara pandu lalu akan dibina di kem-kem tentera terpilih di seluruh negara.

Kem Sungai Besi diangkat sebagai perintis kepada sistem berkenaan dengan jangkaan dibuka seawal mungkin.

Semalam, 3 Jun, ia diumumkan  oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas merasmikan Pembinaan Hospital Modular Covid-19 ATM  di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

Katanya, dengan pembukaan pusat sehenti tersebut, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 sehingga 2,000 orang sehari diberi suntikan vaksin Covid-19 menerusi sistem berkenaan.

“Buat masa ini pemberian vaksin melalui kaedah ini dibuat kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka terdahulu.  Jika konsep ini berjaya dilaksanakan kita akan buka kepada orang awam untuk menerima vaksin secara pandu lalu dan tempatnya kita akan tentukan nanti,” – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Pihak ATM juga katanya akan menggunakan bas sebagai klinik bergerak untuk dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin di kawasan pedalaman.

“Ini sebahagian usaha kita  bantu kerajaan mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 (PICK) kerajaan. Selain bas yang dijadikan sebagai klinik bergerak kita juga akan menghantar doktor dan paramedik ke kawasan terpilih terutama di Sabah dan Sarawak,” – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria bin Hj Yadi telah mengiringi Dato’ Sri Ismail Sabri dalam sesi demonstrasi suntikan vaksin secara pandu lalu. Sesi penerangan konsep Hospital Modular ATM juga diadakan bertempat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HAT Mizan).

Related Articles

Back to top button