InspirasiSemasa

Belasungkawa: Datuk Pahamin A Rajab meninggal dunia selepas selesai Haji

Almarhum masih dalam azam dan niat untuk keluar berdakwah - Maulana Helmi

KUALA LUMPUR: Penasihat Syariah MAPIM Malaysia, YM Maulana Wan Helmi Wan Mohamed menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Pengerusi dan Pengasas bersama AirAsia Bhd Datuk Pahamin A Rajab yang meninggal dunia akibat serangan jantung di London, United Kingdom, Sabtu malam.

Menerusi hantaran di Facebook Maulana Helmi, beliau menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar Allah SWT mengurniakan Husnul Khatimah serta semoga roh arwah ditempatkan bersama para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solehin di Illiyyin (tempat di mana kitab amalan manusia yang soleh serta taat kepada perintah Allah akan disimpan).

Maulana Helmi menyifatkan arwah sebagai insan yang mempunyai nama besar dalam dunia koperat telah dipilih oleh Allah SWT berkecimpung dalam dunia dakwah hingga dapat keluar selama 4 bulan dan negara jauh. Istiqamah dengan nisab 3 hari setiap bulan bersama sahabatnya, Dato Dr Hasan Ali dan Dato Selamat.

Arwah juga pernah keluar 40 hari di perkampungan komunis Malaya di Selatan Thai bersama sahabat yang lain. Malah menurut Maulana Helmi, arwah pernah keluar Rehlah di Masjid Bukit Malut, Langkawi.

“Kali terakhir saya keluar dakwah bersama Almarhum adalah dalam program 3 hari anjuran Ayahanda Dato Dr Hasan Ali di Sijangkang”, cerita Maulana Helmi

Turut menceritakan detik awal ketika arwah mula-mula ikut keluar berdakwah, anak-anaknya risau bagaimana Datuk Pahamin boleh iktikaf tidur di Masjid. Namun, arwah tetap ingin terus keluar berjemaah walaupun kadangkala prasarana masjid dan surau kurang selesa.

“Saya pernah lihat Almarhum iktikaf di koridor masjid. Bila kami tanya pada Almarhum, Dato ok ke mujahadah macam ni?

“Almarhum jawap sebagai ahli koperat kami dah biasa menerima treatment ala VVIP, red carpet dan sebagainya. Namun di usia senja ini saya nak cari jiwa kehambaan semula sebelum saya berjumpa dengan Pencipta”, kata Maulana Helmi mengimbau kembali kenangan bersama arwah.

Sekadar foto hiasan. Kredit Maulana Helmi

Tambah Maulana Helmi lagi, paling mengkagumkan apabila melihat dalam kumpulan whatsapp yang nama arwah ada dalam senarai jemaah yang bakal keluar 40 hari pada bulan Julai ini.

“Masya-Allah Almarhum meninggalkan dunia selepas selesai Haji dan masih dalam azam dan niat untuk keluar berdakwah“, tulis Maulana Helmi.

إنَّا ِللهِ وإنَّا إلَيْهِ رَاجِعُوْن

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button