Agong dan Permaisuri ucap selamat jalan kepada jemaah Haji
SEPANG: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Selasa berkenan mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji Malaysia yang akan berlepas ke Tanah Suci bagi musim haji 1444H/2023.
Menitip titah untuk jemaah haji Malaysia sempena majlis di Kompleks Haji Sepang, Movenpick di Sepang, Al-Sultan Abdullah bertitah menjadi tetamu Allah dalam perhimpunan terbesar umat Islam di Tanah Suci, mengajar jemaah haji untuk bersabar, bertoleransi dan saling hormat-menghormati sesama tetamu Allah yang lain.
Seri Paduka bertitah perbezaan warna kulit, bahasa, bangsa dan kelainan pangkat serta darjat bukan lagi jurang pemisah antara umat Islam yang berhimpun di Tanah Suci.
“Perhimpunan haji mengajar kita untuk bekerjasama demi mencapai matlamat yang diidamkan. Ia turut mengajar kita akan nilai-nilai kehidupan yang mulia demi membentuk kesatuan ummah“.
“Perhimpunan haji adalah suatu manifestasi syiar perpaduan ummah yang maha agung untuk kita jadikan teladan dan pengajaran di negara kita,” titah Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka dalam titahnya turut menyeru bakal jemaah haji untuk mengambil pengajaran daripada kesatuan dan perpaduan ummah menerusi perhimpunan terbesar manusia di Tanah Suci itu untuk sama-sama dijadikan teladan serta pedoman dalam membentuk semangat perpaduan serta ikatan ukhuwah di Malaysia.
Al-Sultan Abdullah turut menasihati bakal jemaah haji agar sentiasa menjaga nama baik Malaysia, mematuhi segala nasihat dan panduan kesihatan serta mengamal pemakanan yang disarankan Tabung Haji (TH).
“Ambillah kesempatan menjadi tetamu Allah ini untuk beribadat dan beramal dengan sesungguh hati,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka turut menzahirkan rasa sukacita terhadap kerajaan dan TH yang sentiasa mengambil berat dalam menjaga kebajikan serta keselesaan jemaah haji Malaysia.
“Pada masa yang sama, saya turut menyeru pihak TH untuk terus mengambil langkah proaktif dalam menambah baik penyediaan perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur kepada jemaah haji negara,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah dalam titahnya turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi atas segala kerjasama dan bantuan yang diberikan dalam urusan pengendalian jemaah haji Malaysia dan berharap agar hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dengan Arab Saudi akan berterusan untuk manfaat jemaah haji.
Usai titah Yang di-Pertuan Agong itu, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Jamali Mohd Adnan membacakan doa memohon agar perjalanan bakal jemaah haji diberkati dan dipermudah segala urusan sepanjang berada di Tanah Suci.
Laungan azan kemudiannya dikumandangkan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Abdul Karim Maaseng Al-Makki sebagai memuji kebesaran Allah yang menerima kumpulan bakal haji tahun ini sebagai tetamu-Nya.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan menyantuni bakal jemaah haji sambil mengucapkan selamat jalan kepada mereka.
Seramai 355 bakal jemaah haji akan berlepas ke Tanah Suci menerusi penerbangan Saudia Airlines ke Jeddah pada 5:35 petang ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan dijangka tiba kira-kira 11:10 malam (waktu Arab Saudi).
Seramai 31,600 jemaah haji Malaysia mengerjakan rukun Islam kelima itu pada musim haji tahun ini, dengan dibantu 670 petugas TH.
Penerbangan bagi musim haji tahun ini merangkumi 98 penerbangan sewa khas yang membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines berbanding 48 penerbangan tahun lepas.
Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula 21 Mei dan penerbangan terakhir adalah pada 21 Jun ini, manakala jemaah haji akan beransur pulang ke tanah air bermula 6 Julai dan penerbangan pulang terakhir adalah pada 2 Ogos 2023.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman, Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar dan Duta Arab Saudi ke Malaysia Mesaad Ibn Ibrahim Ibn Abdullah Al Sulaim.
Mari melaksanakan ibadah korban 2023/1444H bersama MAPIM Malaysia.
Mengapa MAPIM Malaysia?
✅ Haiwan ternak yang berkualiti dan terpilih.
✅ Antara harga termurah dipasaran
✅ Reputasi MAPIM yang dipercayai.
✅ Memudahkan urusan anda dari mula sampai akhir.
Ibadah korban adalah Sunat Muakkad iaitu sunat yang DI TUNTUT bagi umat Islam mengerjakannya.
Insyaallah ibadah korban yang dilakukan dengan penuh ketakwaan dan keikhlasan akan mendapat ganjaran besar yang berlipat ganda dari Allah SWT.
“Pada setiap helai bulunya itu kita akan memperoleh satu kebaikan.” (HR. Ahmad dan Ibnu Majah)
Sertai ibadah korban bersama MAPIM Malaysia, layari www.ibadahqurban.com
ATAU
MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016.
Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia