Tan Sri Dr. Noor Hisham tetap `trio Wira Covid-19′
Menangi hati & minda rakyat, tidak gelabah - Independent
SINGAPURA : Pertengahan April lalu, beliau dinamakan, sebagai ‘antara doktor terbaik dunia’ oleh sebuah stesen televisyen China yang kagum dengan strategi beliau dalam menangani Covid-19 di Malaysia.
Kali ini nama – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dinamakan dalam tajuk berita portal The Independent, Singapura yang dibaca: “Drs Noor Hisham, Bloomfield and Fauci – Covid’s heroic trio” (Dr Noor Hisham, Bloomfield dan Fauci – Trio Wira COVID).
Setelah enam bulan berlalu, dan kini Malaysia sedang mengharungi gelombang ketiga pandemi, reputasi Tan Sri Dr Noor Hisham – tetap gah.
Dalam kolumnya ‘Sense And Nonsense’, Tan memulakan dengan: “Tidak dapat dinafikan, hero asal pandemik Covid-19 ialah mendiang Dr Li Wenliang, pakar Oftalmologi yang merupakan orang pertama memberi amaran kepada pihak berkuasa kesihatan di Wuhan tentang virus itu Disember lepas.
“Tatkala Beijing berjaya mengawal situasi di wilayah Hubei dan lain-lain kawasan di China, negara-negara lain yang bergelut menentang virus itu turut melahirkan wira masing-masing.”
“Seorang daripada mereka memainkan peranan penting di sebuah negara yang akan menghadapi pilihan raya pada 3 November ini yang keputusannya bakal membawa kesan di seluruh dunia,” tulis Tan, merujuk kepada Dr Anthony Stephen Fauci, Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan Amerika Syarikat.
Seorang lagi ialah Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Dr Ashley Bloomfield.
Tan seterusnya berkata, tiga pakar kesihatan awam negara itu kini menjadi perhatian antarabangsa, selain Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Mengenai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia itu, Tan menulis: “Hampir setiap petang sejak beberapa bulan lepas, rakyat Malaysia setia menonton siaran langsung taklimat Covid-19 yang disampaikan oleh Dr Noor Hisham.”
“Beliau tenang memperincikan perkembangan terkini, dan secara bersahaja saling beralih di antara bahasa Inggeris dan Melayu. Beliau merupakan jurucakap negara tentang usaha Malaysia membendung penularan virus itu.” – Tan Bah Bah, Editor Perunding Portal Berita The Independent
Tan juga berkata, usaha Dr Noor Hisham ‘tidak berhenti setakat itu. Beliau juga membuat hantaran Twitter dari hati.’
“Kita perlukan perpaduan untuk menentang pandemik ini, bukan saling bertelagah. Barisan hadapan kita berjuang di lapangan sejak 10 bulan lepas, 24/7. Keletihan mental dan fizikal kini dirasai. Sesetengahnya sudah bersedia untuk mengalah. Belajarlah dari Sabah,” demikian hantaran Twitter Dr Noor Hisham yang dipetik oleh Tan.
“Malaysia mengalami peningkatan mendadak sekarang disebabkan, antaranya pilihan raya Sabah,” kata Tan dalam artikelnya itu.
Tan juga berkata di New Zealand, individu yang setara dengan Dr Noor Hisham ialah Dr Bloomfield yang memenangi hati dan minda rakyat negara tersebut dengan kepimpinannya yang tenang sepanjang pelaksanaan sekatan.
Editor perunding itu turut menyifatkan Dr Fauci sebagai ‘tidak mudah gelabah’.
Artikel penuh boleh diakses menerusi https://theindependent.sg/drs-noor-hisham-bloomfield-and-fauci-covids-he…