BanjirSemasa

Penduduk hilang tempat tinggal, rumah hanyut dibawa banjir

JERTEH: Banjir yang melanda Terengganu kini bukan sahaja mendatangkan kerosakan harta benda dan tanaman malah turut menyebabkan beberapa buah rumah di Besut hanyut dibawa arus.

Salah seorang mangsa, Raja Kamaruddin Raja Muhamad, 58, berkata rumah yang menjadi tempat tinggal dia bersama isteri dan empat anaknya sejak lebih 20 tahun lalu musnah dan ghaib sekelip mata.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi Isnin, ketika saya berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan La.”

“Dua lagi rumah yang terletak berdekatan rumah saya turut musnah dihanyutkan arus deras akibat limpahan Sungai Besut yang terletak berdekatan“, katanya kepada Bernama ketika ditemui di pekarangan tapak rumahnya hari ini.

Katanya akibat kejadian itu mereka sekeluarga gagal menyelamatkan semua perkakas rumah selain sebuah peti sejuk dan kini tinggal sehelai sepinggang.

Kredit foto APM Marang

Raja Kamaruddin menyifatkan kejadian banjir kali ini lebih besar berbanding banjir besar melanda Besut tahun 2000 yang juga telah menghanyutkan rumahnya waktu itu.

“Rumah saya pernah dihanyutkan dalam banjir tahun 2000 tetapi hanya tidak hanyut sepenuhnya sebelum saya bina rumah baru dengan simen tetapi kali ini rumah saya hilang terus.”

“Kali ini, paras air lebih tinggi iaitu dianggarkan setinggi lima meter sementara arus amat deras lebih 30 peratus berbanding dahulu.”

“Nasib baik ketika kejadian saya sekeluarga dan semua mangsa lain telah berpindah ke PPS”, kata petani itu yang merayu agar kerajaan dapat  membantu mangsa terlibat dengan sewajarnya.

Kredit foto APM Hulu Terengganu

Berkongsi duka, Azlan Mat Diah, 63, apabila rumah kayunya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah Raja Kamaruddin turut musnah selepas dihanyutkan arus sejauh 20 meter dari tapak asal.

“Kejadian berlaku ketika saya bersama isteri, Norma Abdullah, 54 dan anak lelaki berusia 24 tahun berada di PPS.”

“Saya dan mangsa banjir lain berpindah pagi Ahad lagi kerana air sungai telah melimpah tetapi bermula awal pagi semalam paras air semakin meningkat sehingga rumah saya yang terletak tidak jauh dari tebing sungai hanyut dari tapak asal”, kata penoreh getah itu.

Bagaimanapun Azlan sempat memindahkan perkakas rumahnya seperti barangan elektrik dan pakaian ke tempat tinggi lebih awal.

Dia juga menyifatkan banjir kali ini adalah yang terburuk selama tempoh 30 tahun kebelakangan ini dan turut berharap kerajaan dapat membantu dia dan mangsa yang senasib dengannya. – BERNAMA

BACA JUGA
700 keluarga di Pulau Redang dan Perhentian terima bantuan MAPIM Malaysia


Bersama kami membantu mangsa yang terkesan akibat banjir melalui sumbangan infaq menerusi

TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
Akaun Maybank 562263540066

atau layari www.bantuummah.com

HOTLINE MAPIM MALAYSIA

Jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button