Seminar Kawal Selia Penerbitan Al-Quran rapat hubungan penerbit & kerajaan
KDN menyeru orang ramai bersama pikul tanggungjawab pelihara kesucian & kemuliaan Al-Quran
SHAH ALAM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Selangor bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) berkolaborasi dengan Kumpulan Karangkraf serta Sinar Harian menjayakan program Seminar Kawal Selia Penerbitan Al-Quran Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022 di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Seminar itu dilihat dapat merapatkan hubungan antara KDN bersama syarikat-syarikat penerbitan al-Quran.
Pengasas WUIF, Datuk Dr. Hussamuddin Yaacub berkata, menerusi program itu, ia diharapkan dapat memberikan input pemahaman yang lebih jelas tentang kaedah atau prosedur bagi penerbitan al-Quran yang sah dalam negara ini.
Ujar beliau, program tersebut turut memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kaedah penulisan al-Quran berasaskan Rasm Uthmani yang sebenar.
“Usaha-usaha seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu, sebelum ini kita juga pernah anjurkan program-program sebegini seperti Malaysia Quran Hour dan My #QuranTime.”
“Kita juga pada masa lalu ada anjurkan sesi diskusi hadis bersama KDN,” katanya kepada pemberita.
Jelas beliau, menerusi program-program sebegini ia diharapkan dapat memberikan ruang kepada WUIF dan Karangkraf untuk lebih bergiat aktif dalam penyebaran dakwah kepada masyarakat di Malaysia dengan kerjasama pihak kerajaan.
“Seandainya ada program-program agama yang ingin dianjurkan, kita sebagai media sangat terbuka untuk tawarkan diri bagi menjayakannya,” tambahnya.
Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Regulatori Al-Quran dan Hadis Kementerian Dalam Negeri (KDN), Dr Mohd Zamir Bahall, Ahli Lajnah Tasheh Al-Quran, Mohd Raof Samsuri serta Pengarah KDN Selangor, Ahmad Hilmi Said.
Pihak KDN dalam masa sama, menyeru kepada peserta dan orang ramai untuk bersama dalam memikul tanggungjawab memelihara kesucian dan kemuliaan Al-Quran melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 dengan memberi maklumat atau melaporkan sebarang aktiviti yang bersalahan dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.